DERETAN bot penduduk yang berarak di Sungai Kelantan sempena sambutan Hari Malaysia.
DERETAN bot penduduk yang berarak di Sungai Kelantan sempena sambutan Hari Malaysia.
HM Digital

Tumpat: Sempena sambutan Hari Malaysia, kira-kira 500 penduduk sekitar Parlimen Tumpat mencipta kelainan apabila berarak dengan menaiki 60 bot menyusuri Sungai Kelantan, di sini, semalam.

Perjalanan sejauh 15 kilometer bermula dari jeti di Pasir Pekan menuju ke Kampung Pulau Beluru dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang sambil diiringi nyanyian lagu patriotik.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata, jumlah penyertaan sebanyak 60 bot itu sebagai simbolik sambutan kemerdekaan negara, baru-baru ini sekali gus dapat membangkitkan semangat patriotik di kalangan masyarakat.

“Sambutan Hari Malaysia kali ini mendapat sambutan luar biasa kerana kita membuat kelainan dengan mengadakan perarakan di sungai.

“Insya-Allah kita akan menjadikan sambutan ini sebagai acara tahunan berikutan menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian program terbabit, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ali.

Pelbagai pengisian program turut dijalankan termasuk persembahan dikir barat, deklamasi sajak serta lagu patriotik dan persembahan kebudayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:49 AM