QAMAR GUL. FOTO Twitter
QAMAR GUL. FOTO Twitter
AFP

Lahore: Seorang remaja perempuan Afghanistan menembak mati dua tentera Taliban yang mengheret ibu bapanya dari rumah dan membunuh mereka kerana didakwa menyokong kerajaan.

Pada kejadian minggu lalu itu, pemberontak menyerbu sebuah rumah remaja itu, Qamar Gul, yang terletak di sebuah kampung di tengah wilayah Ghor.

Ketua polis Habiburahman Malekzada memberitahu AFP, tentera itu mencari bapa remaja berkenaan.

"Bapa remaja itu adalah penyokong kerajaan dan disebabkan itu tentera Taliban pergi ke rumahnya dan mengheret lelaki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, apabila isteri lelaki itu cuba menghalang tentera berkenaan, mereka menembak pasangan berkenaan di luar rumah.

"Qamar Gul yang berada di dalam rumah kemudian mengambil raifal AK-47 milik keluarganya dan menembak mati tentera Talian berkenaan," katanya.

Pada kejadian sama, dia turut mencederakan beberapa ahli kumpulan berkenaan.

Qulberusia antara 14 dan 16 tahun. Adalah menjadi kebiasaan untuk kebanyakan penduduk Afghanistan untuk tidak mengetahui usia sebenar seseorang di negara itu.

Dalam pada itu, beberapa tentera Taliban datang ke rumahnya tidak lama selepas kejadian.

Bagaimanapun, beberapa penduduk kampung dan tentera pro-kerajaan membantu mengusir mereka selepas insiden berbalas tembakan.

Tentera Afghanistan kini membawa Gul dan adik lelakinya ke lokasi lebih selamat.

Insiden itu kini tular di media sosial dan ramai yang memuji tindakan remaja berkenaan sebagai wira.

Foto Gul memakai skaf dan memegang senjata api turut tular di Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 11:07 AM