Husna serius dengan kerjaya, mahu terus bawa watak berat dan jadi pelakon hebat.
Husna serius dengan kerjaya, mahu terus bawa watak berat dan jadi pelakon hebat.
Ridzuan Abdul Rahman


STATUS sebagai pelajar jurusan perubatan sebelum ini membuatkan Sharifah Husna Syed Faisal, 27, terkejar-kejar membahagikan masa untuk berlakon.

Bagaimanapun, dia yang mesra disapa Husna gembira kerana sudah tamat pengajian sekali gus dapat fokus sepenuhnya kepada lakonan.

"Tiga tahun lalu saya masih belajar. Jadinya, saya hanya boleh ambil watak kecil ketika cuti semester. Sebaik tamat belajar tahun lalu, barulah saya mula berlakon sepenuh masa dan dapat membawakan watak utama dan berat. Apabila berlakon sepenuh masa, saya dapat jadi heroin drama Kasih Tak Terungkap bergandingan dengan Saharul Ridzwan," katanya.

Husna turut membintangi telefilem Soulmate Kedua dan Tragedi Balik Kampung yang ditayangkan menerusi slot Cerekarama TV3 pada Aidilfitri lalu.

Husna mula dikenali menerusi drama Mr Boss Miss Stalker, Assalamualaikum Cinta dan pelbagai drama lain antaranya Imaan, Aku Yang Kau Tinggalkan serta Seribu Rindu.

"Sekarang ini, drama lakonan saya berjudul Bila Cupid Jatuh Cinta sedang ditayangkan di TV3 manakala aktiviti lakonan terkini ialah menjalani penggambaran drama Ryan Aralyn dan Rudy Vs Jolie.

HUSNA bersama Nadia Brian yang turut membintangi drama Rudy Vs Jolie.
HUSNA bersama Nadia Brian yang turut membintangi drama Rudy Vs Jolie.

"Beberapa hari lalu saya baru selesai penggambaran sebuah drama berat genre cinta dengan pelakon hebat Fauziah Nawi, Sabri Yunus, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal," katanya yang akan menjalani penggambaran drama Kelmarin Cinta bergandingan dengan Shukri Yahaya pada Ogos depan.

Pelakon kelahiran Subang Jaya ini adalah lulusan University Royal College Surgeons (Republik Ireland) kampus Serdang, Selangor.

"Alhamdulillah, saya rasa kerjaya sebagai pelakon semakin kuat sekarang. Namun saya percaya boleh kembali ke dunia perubatan sekiranya percaturan dalam bidang lakonan kurang menjadi.

BERGANDINGAN dengan Aiman Hakim dalam drama Bila Cupid Jatuh Cinta.
BERGANDINGAN dengan Aiman Hakim dalam drama Bila Cupid Jatuh Cinta.

"Saya juga lega dapat membuktikan kepada ibu bapa lakonan boleh dijadikan sebagai kerjaya," katanya yang gembira kerana mendapat sokongan penuh mereka.

Menurutnya, dia berhasrat memanfaatkan pendapatan sebaik-baiknya dengan menyimpan wang dan membeli harta nanti.

"Saya serius nak jadi pelakon dan akan terus bawa watak berat dan mencabar. Saya nak buktikan akan jadi pelakon hebat suatu hari nanti.

"Setakat ini saya banyak bawa watak berat dan mencabar seperti psiko, pesakit kanser dan murung. Saya tak nampak wajah saya jadi penghalang untuk bawa pelbagai watak. Dengan teknik solekan, wajah cantik boleh jadi buruk," katanya.

Tiada cinta

Anak sulung daripada empat beradik ini pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Azrel Ismail.

Bagaimanapun 'kisah percintaan' mereka hanya separuh jalan apabila masing-masing meneruskan jalan hidup berasingan.

Husna berkata, dia tidak menyangka perkenalannya dengan Azrel mendapat perhatian ramai.

DALAM satu adegan drama Bila Cupid Jatuh Cinta.
DALAM satu adegan drama Bila Cupid Jatuh Cinta.

"Itulah sebabnya apabila sudah jadi gosip, saya rasa macam-macam perasaan antaranya terkejut. Saya segan kerana privasi hidup diketahui ramai.

"Dari situ juga saya belajar bahagian hidup sebagai selebriti. Saya masih baru dengan perkara ini. Saya berkenalan dengan Azrel sekejap saja dan kami masih kekal sebagai kawan biasa," katanya.

Dia menyifatkan Azrel seorang yang profesional ketika bekerja dan baik hati.

"Itulah sebabnya kami saling mengenali, tapi tidaklah sampai bercinta tapi sekadar berkawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:00 AM