FADLAN Hazim selesa bawa watak dalam drama Bukan Cinta Sempurna ekoran bekerja dalam satu pasukan bagai keluarga
FADLAN Hazim selesa bawa watak dalam drama Bukan Cinta Sempurna ekoran bekerja dalam satu pasukan bagai keluarga
Ridzuan Abdul Rahman


Memulakan kerjaya dalam bidang peragaan sejak berusia 16 tahun dan kemudian menganggotai kumpulan V.I.P (Versatility In Performance) di bawah naungan KRU Talents pada 2010.

Bagaimanapun, pilihan terakhir Fadlan Hazim iaitu menceburi bidang lakonan membawa tuah buatnya.

Nama pelakon berusia 31 tahun itu kini bermain di bibir peminat menerusi drama Bukan Cinta Sempurna terbitan Global Station Sdn Bhd dan Jack Yusof terbitan KL Motion Pictures.

Fadlan berkata, dia bersyukur perjuangannya dalam bidang seni mendapat ganjaran setimpal apabila namanya mula diterima peminat.

"Sebenarnya drama Bukan Cinta Sempurna diadaptasi daripada telenovela Sepanyol berjudul Cafe Con Aroma De Mujer. Watak ini memang kena dengan jiwa saya.

"Sebabnya watak saya sebagai Luqman seorang 'family man'. Saya nampak selesa sebab pasukan kami bekerja seperti satu keluarga.

PENAMPILAN Fadlan menerusi Bukan Cinta Sempurna nampak lebih matang.
PENAMPILAN Fadlan menerusi Bukan Cinta Sempurna nampak lebih matang.

"Pasukan ini dah biasa bekerja bersama dan rata-rata baik kru dan pelakon semua sangat 'humble' dan hubungan semua rapat macam keluarga besar," katanya.

Drama arahan Azri Izhar dan MP Roslin MD Sharif ini membariskan pelakon seperti Ayda Jebat sebagai Qistina, Amar Baharin (Ziyan), Shah Iskandar (Aniq), Hanna Aqeela (Amanda), Neera Azizi (Marina), Emelda Rosemila (Herni), Ziela Jalil (Sahara) dan ramai lagi.

Drama 50 episod ini mula ditayangkan sejak 31 Julai lalu.

Dek penangan Luqman juga, Fadlan mengakui bilangan pengikutnya di Instagram bertambah.

"Setakat ini tayangan baharu empat episod. Alhamdulillah, ada sedikit peningkatan pengikut. Bagi saya yang penting ialah semua penonton terhibur menonton.

"Setakat ini dibuat untuk 50 episod. Tapi, ada perancangan dari pihak produksi untuk tambah lagi mungkin sampai 80 episod.

"Kita fikir cerita ini boleh dimeriahkan lagi dengan sub plot dan watak baharu. Mungkin juga watak Luqman berubah pada pertengahan cerita, kita sama-sama tengok nanti," katanya.

Menurutnya dia tiada masalah bekerja di bawah arahan dua pengarah kerana mereka berasal dari kawasan sama iaitu Segambut.

SERONOK bergandingan dengan Ayda Jebat dan pelakon-pelakon lain.
SERONOK bergandingan dengan Ayda Jebat dan pelakon-pelakon lain.

"Bagi saya pengarah, kru dan team drama ini memang terbaik. Sepanjang 10 tahun berlakon, team inilah termasuk Ayda Jebat dan pelakon lain sangat terbaik.

"Semua beri kerjasama yang mantap. Kenyataan ini jujur keluar dari mulut saya. Pengalamannya sangat seronok 'shooting' dengan mereka.

"Satu yang saya belajar semasa berlakon drama ini, berjaga-jagalah dengan musuh dalam selimut. Malah, darah daging pun boleh tikam kita dari belakang," katanya.

Fadlan turut melakukan perubahan besar dari segi penampilannya yang berjambang dalam cerita ini.

"Ia kena dengan jiwa watak yang ada dalam cerita ini. Sejujurnya saya lebih selesa dengan penampilan sekarang, kerana dari dulu saya memang jiwa 'rugged'," katanya.

Menerusi drama Jack Yusof arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin pula, Fadlan melakonkan watak Syafiq Aidan yang berjaya mencuri perhatian ramai penonton.

Wataknya mewakli pelakon Budak Baru Nak Up (BBNU) yang tidak menunjukkan perangai yang bagus di lokasi penggambaran.

Turut membintangi drama ini antaranya Datuk Rosyam Nor sebagai Jack Yusof, Sharifah Husna (Aida), Raja Ema (Salina) dan Rashidi Ishak (Rahmat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 6:00 AM