NAJWA seronok mengajar pelajar di universiti.
NAJWA seronok mengajar pelajar di universiti.
Georgie Joseph

SEBUT saja nama Najwa Latif, sehingga sekarang ramai masih ingat impak yang ditinggalkan penyanyi ini dalam industri muzik tempatan.

Daripada sekadar menyanyi dalam kereta, sehingga ke pentas besar termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), dia memang tersendiri.

Sembilan tahun berkelana sebagai anak seni, Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 25, sememangnya layak dijadikan contoh terbaik kepada ramai.

Dia bukan sekadar berbakat dalam muzik, bahkan amat pentingkan akademik.

Selain penyanyi, kini dia bergelar pensyarah pula di Universiti Antarabangsa UNITAR, Kelana Jaya dan lebih dua tahun berkhidmat.

Siapa sangka daripada gadis pemalu, sekarang dia adalah pendidik.

Sebagai antara individu yang pertama kali mewawancara Najwa di awal kemunculan, penulis nampak perubahan ketara pada dirinya.

Dia kini petah dan yakin menyusun kata-katanya selain menjawab pertanyaan diajukan dengan jawapan berisi.

Ternyata, pengalamannya menjadi pensyarah benar-benar mendewasakan dari pelbagai aspek termasuk komunikasi.

Bagaimanapun, Najwa mengakui keputusan untuk mengejar impian dalam kerjaya akademik paling menggembirakan dalam hidupnya.

"Lebih dua tahun bergelar pendidik, pengalaman memang sangat seronok. Saya akui agak risau juga waktu awal mengajar dulu kerana memikirkan jika ada pelajar yang kenal saya sebagai penyanyi.

"Memang ada yang kenal, tapi syukur semuanya tahu batas mereka. Saya tak kisah pun, kalau mereka kenal kerana saya tahu matlamat asal adalah untuk menjadi pendidik yang bagus dan kongsikan ilmu pengetahuan kepada mereka.

"Yang pasti, banyak perkara dan nilai baharu yang saya belajar selepas jadi pensyarah. Bukan saja kemahiran komunikasi saya semakin baik, bahkan saya belajar untuk lebih fokus kepada sekeliling dan aplikasikannya dalam pembelajaran," katanya.

Menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM), tahun lalu, Najwa juga kini memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD).

SANGAT terharu dengan penerimaan lagu baharunya, Tak Kisah Pun.
SANGAT terharu dengan penerimaan lagu baharunya, Tak Kisah Pun.

Bagaimanapun, menurutnya dia mahu memberi laluan kepada projek seninya terlebih dulu.

"Memang ada niat pun nak sambung PhD. Namun saya belum tentukan lagi masa yang paling tepat untuk memulakan pengajian di peringkat itu dan merancang berbuat demikian pada tahun depan.

"Saya akan sambung sama ada dalam TESL ataupun psikologi. Bagaimanapun, saya mahu fokuskan dulu beberapa projek lagu yang bakal diketengahkan tahun ini selepas pelancaran lagu Tak Kisah Pun," katanya.

Tak sangka Tak Kisah Pun diterima baik

Rancak mempromosikan lagu terbaharunya berjudul Tak Kisah Pun berduet dengan Akwa Ariffin, Najwa mengakui terharu dengan penerimaan luar biasa lagu berkenaan.

Dia jelas tidak sangka hal itu, memandangkan lagu berkenaan awalnya dicipta secara suka-suka saja.

Menurutnya, lagu itu sebenarnya sebuah cetusan rasa yang dimuat naik di Instagram berdurasi seminit ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudian, pelan itu bertukar apabila pengurusannya NL Entertainment serius mahu jadikannya lagu baharu.

"Awalnya, saya cuma muat naik versi akustik lagu itu di Instagram sebelum Akwa minta izin untuk 'remix' lagu berkenaan. Apabila saya dengar gubahan lagu yang dibuatnya, saya terus hubungi dia bertanya jika mahu duet bersama.

"Daripada situ semua bermula di mana segala proses penghasilannya dari awal memang saya lakukan sendiri. Rakaman pun cuma dibuat di ruang tamu rumah Akwa disebabkan PKP. Dalam satu malam saja, kami siapkan terus," katanya.

RANCAK promosi lagu berduet dengan Akwa.
RANCAK promosi lagu berduet dengan Akwa.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Akwa, Najwa mengakui dia kagum dengan kebolehan bintang YouTube itu dalam bidang muzik.

Menurutnya, Akwa memiliki kualiti tersendiri selain ideanya segar.

"Saya kenal dia dari YouTube saja. Namun, saya dapati dia sangat berbakat dalam gubahan lagu, justeru cuba nasib untuk melamarnya bekerjasama menjayakan lagu Tak Kisah Pun," katanya.

Najwa berkata lagu itu antara lagu yang sangat dekat dengan dirinya dan berharap mesej cuba disampaikan mengenai perihal menghargai diri sendiri sampai kepada pendengar.

Baginya, dilema berkenaan adalah antara yang paling besar dihadapi ramai orang sekarang.

"Dalam lagu itu, saya mahu pendengar lebih menghargai dan menyayangi diri mereka seadanya. Seperti pengalaman peribadi, saya sendiri sering rasa tidak cukup bagus, tak cantik dan nak cantik lagi dan sebagainya.

"Hal itu berlaku kepada semua orang di mana ada saja perkara dalam diri yang tidak memuaskan. Selepas lagu ini, lagu akan datang saya juga akan banyak diterapkan dengan elemen 'self-love' sebegini," katanya.

Cabar diri bergerak sendiri

Najwa turut berkongsi kini dia tidak lagi bernaung di bawah NAR Records sejak Mei lalu.

Sebaliknya, dia memutuskan untuk diuruskan syarikatnya sendiri iaitu NL Entertainment bermula dari projek lagu Tak Kisah Pun.

Menurutnya, banyak sebab dia mengambil keputusan itu apalagi sudah terlalu lama diuruskan label arus perdana.

Najwa mengakui agak risau juga, tapi lebih penting kini bersiap sedia menikmati perjalanan baharu itu.

"Ketika masih dinaungi pengurusan lama, segalanya dijaga dan disediakan untuk saya. Mungkin disebabkan itu saya terbiasa selesa dan kini mahu keluar dari zon selesa itu.

"Saya berazam untuk belajar sendiri segala selok-belok pengurusan dalam kerjaya seni ini dengan usaha sendiri. Bagi saya, ini yang akan mencabar diri untuk dapat pengetahuan lebih dalam mengenai industri," katanya.

Najwa juga berkongsi dia bakal sibuk dengan beberapa projek selain mempromosikan Tak Kisah Pun.

Dia akui, dia kini bersedia untuk kembali merebut segala peluang untuk merancakkan lagi kerjaya nyanyiannya.

"Untuk Tak Kisah Pun sendiri, saya sangat terbuka jika lagu itu mendapat peluang dan ruang bertanding mana-mana anugerah. Bagi saya, ia tentunya menyeronokkan apabila lagu yang mesejnya kuat itu dapat pengiktirafan.

"Akan menyusul, saya bakal terbabit untuk dua lagi lagu di mana kedua-duanya pun duet. Saya boleh katakan tahun ini akan lebih sibuk sedikit buat saya disebabkan aktiviti promosi muzik selain mengajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:00 AM