EPUL bersama Lulu dan Lili. FOTO ihsan Epul dan NadiaaFauzii.
EPUL bersama Lulu dan Lili. FOTO ihsan Epul dan NadiaaFauzii.
Murnaena Muhammad Nasir


"RAKAN-RAKAN ada tegur saya muka ganas, (kepala) botak dan bermisai tetapi bagi saya, muka bukanlah penghalang untuk menjadi pencinta kucing," kata penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Epul.

Epul, 23, yang menetap di Gombak berkata, dia gembira boleh membawa kucing peliharaannya yang dinamakan Lulu dan Lili bersama ketika menghantar makanan.

"Mereka (kucing peliharaannya) sering melihat suasana luar melalui tingkap saja dengan muka sedih dan disebabkan itu saya bawa mereka bersiar-siar," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Gambarnya menaiki motosikal sambil membawa sangkar kucing itu dikongsikan pengguna Twitter @nadiaafauzii dan mendapat lebih 30,000 ulang ciap dan 55,000 tanda suka.

Dia yang melakukan perkara itu sejak dua minggu lalu berkata, kucing itu adalah haiwan peliharaan pertamanya yang dijumpai di kawasan rumah sewa sebelum ini.

"Saya sudah lama mahu membela kucing sejak sekolah lagi tetapi tidak mendapat izin keluarga.

"Selepas berpindah rumah, keluarga benarkan bela kucing tetapi boleh duduk dalam bilik saja ketika ketiadaan saya. Lulu dan Lili adalah peneman hidup saya malah tidur pun sekatil," katanya.

KUCING betina peliharaan Epul dinamakan Lulu dan Lili. FOTO ihsan Epul
KUCING betina peliharaan Epul dinamakan Lulu dan Lili. FOTO ihsan Epul

Mengulas mengenai kebersihan ketika menghantar makanan kepada pelanggan, Epul berkata, dia mengasingkan makanan dan sangkar kucing itu dengan rapi.

"Kedua-dua beg makanan dan sangkar diletakkan berasingan dalam keadaan yang tertutup. Tiada pencemaran makanan akan berlaku kerana makanan pelanggan juga sudah dibungkus.

"Saya tidak pegang kucing semasa menghantar makanan dan hanya pegang mereka pada waktu rehat saja untuk bagi makan dan basuh najis. Selepas itu, saya akan bersihkan diri dan menggunakan cecair sanitasi tangan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai tuala Liverpool yang digunakan menutup sangkar kucing itu, anak sulung dari dua adik beradik mengakui minat bermain bola dan meminati pasukan Liga Perdana Inggeris itu.

"Saya gunakan tuala itu untuk melindungi kucing daripada cuaca panas. Di bawah tuala itu, saya letakkan plastik untuk elak mereka terkena hujan. Jika cuaca hujan dan waktu sibuk saya tidak akan bawa mereka untuk keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 9:27 PM