PENULIS bersama kucing kesayangan.
PENULIS bersama kucing kesayangan.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah

Secara jujur pada mulanya penulis mengakui tidak menyukai kucing.

Masih jelas di ingatan ketika kecil, penulis sering disakat adik lelaki dan seorang sepupu dengan meletakkan kucing di bahagian belakang badan.

Semestinya penulis berasa terperanjat dan menjerit ketakutan lalu lari lintang pukang.

Malah penulis juga pernah melalui kenangan dicakar dengan kuku kucing hingga berdarah di muka.

Dua kejadian itu menyebabkan penulis berasa takut kepada haiwan itu sehingga menginjak dewasa.

Siapa sangka penulis bertemu jodoh dengan suami, Zulkarnain Khairi, 45, yang juga seorang pencinta tegar kucing.

Namun penulis masih tetap dengan pendirian tidak mengambil peduli kebajikan kucing peliharaan suami.

Bagaimanapun segalanya berubah apabila suami membawa pulang seekor anak kucing jantan yang ditemuinya di masjid berhampiran.

Sifatnya yang amat manja ternyata menambat hati dan mengubah persepsi penulis untuk mula menyayangi haiwan ini.

MEMELIHARA kucing menjadi terapi diri.
MEMELIHARA kucing menjadi terapi diri.

Kami sepakat untuk memberikan menamakannya Tiger. Namun kegembiraan kami tidak berpanjangan apabila kucing itu mati akibat dilanggar sebuah kenderaan.

Sejak peristiwa itu kami sering kali membawa pulang pelbagai jenis kucing jalanan. Ada di antara kucing itu datang secara tiba tiba di rumah sebelum terus menjadi penghuni tetap.

Sehingga kini, penulis dan suami memelihara 16 kucing kampung di rumah.

Biarpun hanya kucing kampung, penjagaannya tetap dititik beratkan dengan memberi makanan sebanyak tiga kali sehari termasuk kepala ayam yang direbus dan produk makanan berasaskan kucing.

Suami penulis sangat berhati-hati dalam pembelian makanan kucing ini untuk memastikan nutrisinya lengkap untuk kesihatan dan tumbesaran kucing..

Makanan yang diperkayakan kandungan Omega 3, Omega 6, vitamin dan mineral dapat mengekalkan kesihatan bulu, membantu gigi dan tulang, keseimbangan PH serta mengurangkan risiko penyakit batu karang.

SENTIASA pastikan sangkar kucing dalam keadaan baik'.
SENTIASA pastikan sangkar kucing dalam keadaan baik'.

Penulis menggunakan pasir khas yang mesra alam untuk pembuangan najisnya supaya kebersihan sangkar. Malah setiap pagi kami akan membersihkan tiga sangkar supaya mereka terhindar dari penyakit.

Seandainya kucing sakit, kami akan membawanya di klinik veterinar untuk rawatan lanjut.

Kami menganggap kucing peliharaan sebagai ahli keluarga. Setiap kucing mempunyai sifat berbeza namun keletah manja dan kenakalan haiwan itu tetap mencuit hati.

Memelihara kucing juga menjadi terapi diri untuk mengurangkan tekanan rutin harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:46 AM