KUCING peliharaan Syakir menemani ibunya setiap kali solat. FOTO ihsan Syakir Kamil
KUCING peliharaan Syakir menemani ibunya setiap kali solat. FOTO ihsan Syakir Kamil
Murnaena Muhammad Nasir


"SETIAP kali waktu solat, ibu akan sediakan mini sejadah di sebelahnya untuk Jambu (kucing betina) dan ia (haiwan peliharaan) akan tunggu di situ sehinggalah selesai solat," kata Muhammad Syakir Muhammad Kamil.

Syakir, 22, tular di media sosial selepas berkongsi gambar haiwan peliharaannya itu 'solat berjemaah' dengan ibu bapanya.

Menurut Syakir, haiwan peliharaannya itu sangat manja dan akan ikut ke mana sahaja ibunya pergi termasuk ke ruangan solat.

"Dulu, semasa ibu solat, Jambu suka baring di sebelah kakinya menyebabkan ibu khuatir solatnya terbatal.

"Pada masa sama, ibu tidak sampai hati menghalau haiwan peliharaan kesayangannya itu.

"Jadi, ibu berikan sejadah khusus untuk Jambu dan melatihnya duduk di situ," katanya

Syakir yang berasal dari Singapura berkata, telatah kucing peliharaannya itu bukanlah asing bagi pembela kucing yang lain kerana sudah lumrah kucing manja dengan manusia.

"Saya kongsikan gambar telatah kucing saya itu di Twitter dan menerima lebih 44,000 ulang kicau serta 74,000 tanda suka.

"Melalui perkongsian ini, ramai warganet turut berkongsi gambar kucing mereka duduk di sebelah ketika solat dan ada juga yang berbaring di atas sejadah.

"Saya nasihatkan jika mempunyai kucing yang aktif sebaiknya tutuplah pintu ketika solat kerana dikhuatiri mengacau waktu solat kita. Tetapi tidak mengapa jika kucing jenis malas seperti kucing saya kerana seronok juga ada yang teman waktu solat," katanya.

Ditanya mengenai suasana Ramadan di Singapura, Syakir berkata, Ramadan tahun ini sangat berbeza kerana tiada lagi solat terawih, bazar dan berbuka puasa beramai-ramai.

"Biasanya semasa bulan Ramadan, kami akan solat terawih di masjid, membeli juadah berbuka puasa di bazar dan buka puasa bersama saudara di rumah nenek.

"Namun, bagi memutuskan rangkaian wabak Covid-19, kami akur dengan segala arahan kerajaan dan menyambut Ramadan dengan sederhana.

"Alhamdulillah masih ada makanan waktu berbuka jadi saya tidak akan mengeluh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:29 PM