Nurul Amanina Suhaini


SELEBRITI dan deejay radio, Patrick Teoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial, Mei lalu.

Tertuduh, Teoh Kang Yong, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa menggunakan laman sosial Facebook (FB) Page 'Patrick Teoh' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Hakim menetapkan 20 Julai depan bagi serahan dokumen, selain menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syafiq Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen.

Terdahulu, Teoh, 73, ditahan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mei lalu atas tuduhan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, sebelum keterangannya diambil.

Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 10:56 AM
PATRICK Teoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
PATRICK Teoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini