PATRICK Teoh. FOTO Facebook Patrick Teoh
PATRICK Teoh. FOTO Facebook Patrick Teoh
Mohamed Farid Noh

SELEBRITI dan deejay radio, Patrick Teoh, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi esok susulan kesnya memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor, bulan lalu.

Teoh dilaporkan sebuah portal memuat naik posting di akaun Facebooknya yang mengesahkan akan didakwa esok atas pertuduhan berkenaan namun tidak mengulas lanjut atas nasihat peguamnya.

Bagaimanapun muat naik berkenaan dipercayai sudah dipadamkannya.

Teoh, 73, ditahan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mei lalu atas tuduhan menghina Tunku Ismail sebelum keterangannya diambil.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sebelum direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Terdahalu, Peguam Teoh, Rajan Navaratnam dilaporkan berkata, juruhebah dan pelakon komedi terkenal itu didakwa berkongsi semula video lama Tunku Ismail berpakaian tentera dan mengendalikan senjata api.

Teoh juga didakwa memuat naik kata-kata kasar ketika berkongsi video itu di akaun Facebooknya, bulan lalu, sebelum laporan polis dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian yang tidak betul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 2:45 PM