SYED Mahmood menunggu perbicaraan kes memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SYED Mahmood menunggu perbicaraan kes memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


WARGA emas berusia 71 tahun didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol pada 6 Jun lalu.

Tertuduh hadir ke mahkamah sendirian tanpa ditemani ahli keluarga.

Tertuduh, Syed Mahmood Syed Nazimuddin, 71, yang juga seorang pesara mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib oleh jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Perbuatan itu dilakukan jam 11.05 malam, 6 Jun lalu, selepas tertuduh yang memandu kereta jenis Mercedes ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson ketika menjalankan tugas 'Ops Mabuk' di Jalan Kampung Baru Si Rusa.

Ketika ditahan, ujian menunjukkan bacaan 211 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana melebihi had ditetapkan (80 mg alkohol/100 mililiter darah).

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Tertuduh kemudiannya dibebaskan selepas membayar denda RM6,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 12:54 PM