FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

LELAKI didenda RM4,000 oleh Mahkamah Trafik Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol, semalam.

Majistret Putri Nurshila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeap Soon Yen, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan Mazda GL di bawah pengaruh alkohol iaitu 173 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80 mg di dalam 100 ml darah di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada 11.30 malam, 14 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali yang memohon hukuman sewajarnya kerana ia adalah kesalahan kali kedua tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:58 PM