OMAR Azman. FOTO Roselan Ab Malek
OMAR Azman. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


"SAYA dan rakan sekelas hanya perlu mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya siapa yang hendak menjadi guru, ketika itu kami belajar di Darjah Tujuh (pada 1958)," kata Omar Azman Mohamad, 78.

Itu reaksi diberi bekas guru di Maran, Pahang, ketika menceritakan kenangan ketika mula-mula menjadi pendidik era pasca merdeka pada 1958.

Omar Azman berkata, ketika itu ramai rakannya yang mengangkat tangan apabila ditanya seorang pegawai Inggeris ketika mereka belajar di Sekolah Melayu Temerloh sehingga Darjah Tujuh (Darjah Khas).

Menurutnya, sejak itu, bermula Januari 1958 dia menerima tawaran menjadi guru tidak terlatih di Sekolah Melayu Durian Tawar, Temerloh.

Katanya, menjadi guru dalam era pasca merdeka memerlukan ketabahan, patriostisme dan semangat untuk membina masyarakat celik huruf.

"Hendak menjadi guru ketika itu penuh dilema, sama ada mahu meneruskan kerjaya murni itu atau menjadi penoreh getah yang ketika itu pendapatannya lebih tinggi berbanding gaji guru.

"Namun, selepas beberapa tahun, ada rakan menyesal tidak menerima tawaran guru kerana harga getah jatuh merudum hingga 25 sen sekati (timbangan ketika itu)," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengimbau kenangan itu, Omar Azman berkata, dia lahir pada 1942 ketika Jepun menjajah Tanah Melayu di Kampung Pantai Seberang Chenor.

Katanya, ketika itu keluarganya hanyalah golongan petani dan nelayan sungai yang hidup serba sederhana.

Ketika menjadi guru tidak terlatih, katanya, cinta terhadap kerjaya guru semakin menebal menyebabkan dia tekad menyambung pengajian dan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1960 serta lulus cemerlang.

"Pada 1961 dengan kelulusan SRP itu saya diterima masuk ke Pusat Latihan Guru Harian di Raub atau Day Training Centre (DTC) selama dua setengah tahun.

"Selepas menjalani pendidikan guru secara formal di DTC itu saya kemudiannya ditempatkan di Sekolah Melayu Pejing," katanya.

Menyingkap kembali antara kenangan manis zaman menjadi guru, Omar Azman berkata, setiap hari dia akan mengayuh basikal jenama Raleigh kira-kira lapan kilometer dari rumah ke sekolah untuk menabur bakti mendidik anak bangsa.

"Pada ketika itu mana-mana individu yang memilik basikal Raliegh dipandang hebat oleh masyarakat kampung, malah anak dara pun ramai yang berminat," katanya.

Antara sekolah yang pernah beliau berkhidmat ialah Sekolah Melayu Chenor, Sekolah Kebangsaan Bukit Tajau, Sekolah Kebangsaan Serengkam (dilantik Guru Besar), Sekolah Kebangsaan Ulu Luit dan Sekolah Kebangsaan Senggora.

Omar Azman kemudiannya bersara pada 1987 selepas berkhidmat selama hampir 30 tahun dalam bidang perguruan.

"Walaupun tahap pendidikan negara semakin jauh ke hadapan dan bertaraf dunia tetapi kita tidak harus lupa peranan guru selepas pasca merdeka yang menjadi golongan pembentuk hala tuju pendididikan negara sekarang.

"Memang diakui kelulusan kami tidak setinggi guru muda sekarang tetapi dengan kelulusan Darjah Tujuh, SRP atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berupaya membentuk sebuah masyarakat Melayu yang berpendidikan," katanya.

Dia juga pernah menjadi wartawan sambilan bagi akhbar Berita Harian pada 1970-an hingga 1990-an dan kini banyak melakukan kerja kemasyarakatan di Maran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 9:25 PM