Azman (kanan) bersama Suib memulakan jelajah menggunakan basikal untuk bertemu rakan sekolahnya di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, semalam.
Azman (kanan) bersama Suib memulakan jelajah menggunakan basikal untuk bertemu rakan sekolahnya di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, semalam.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Untuk bertemu lebih 100 rakan yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Vokasional Pertanian (SMVP) Chenor, Maran yang terpisah sejak 39 tahun lalu, saya sanggup mengayuh basikal lebih 1,000 kilometer (km).

“Saya memulakan kayuhan dari Yan, Kedah pada 15 Disember lalu dan akan singgah di semua negeri di Semenanjung untuk bertemu rakan sekolah yang setia menunggu,” kata Azman Ahmad, 56, kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.

Azman dan rakannya, Suib Abd Kadir, 57, yang juga pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah menjelajah Semenanjung untuk bertemu rakan sekolah mereka yang sudah lama terpisah.

Azman berkata, ketika belajar di SMVP Chenor yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Chenor (Pertanian) selama dua tahun pada 1976 hingga 1977, dia mempunyai rakan di hampir seluruh Semenanjung selain Sabah.

“Program jelajah berbasikal ini memberi peluang kepada saya bertemu mereka semula,” katanya ketika ditemui ketika singgah di Kompleks Belia dan Sukan Pahang, di sini, semalam.

Katanya, ketika singgah di Kelantan, Terengganu dan negeri ini, dia berpeluang bertemu lebih 30 rakan yang ada antara mereka masih sihat, malah tidak kurang menghidap pelbagai penyakit.

“Tiap kali bertemu rakan lama, saya tidak dapat menahan rasa sayu hingga menitiskan air mata. Saya tidak pernah menyangka selepas 39 tahun berpisah membawa haluan masing-masing, kami bertemu semula walaupun hanya dalam tempoh beberapa jam saja.

“Faktor usia dan perubahan fizikal menyebabkan saya tidak mengenali beberapa rakan namun kenangan ketika melakukan kerja menanam sayur, menjaga ternakan dan belajar memandu jentera masih segar dalam ingatan,” katanya.

Azman yang dua kali diserang angin ahmar tahun lalu berkata, dia terharu apabila berpeluang bertemu enam rakan lama yang menetap di negeri ini.

“Mereka sambut saya begitu meriah dengan menyediakan jamuan,” katanya.

Menurutnya, selepas ini dia akan berkayuh ke Rompin untuk bertemu beberapa rakan sebelum meneruskan perjalanan ke Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak dan Perlis dalam jelajah dijangka berakhir 31 Disember ini.

“Selain bertemu rakan sekolah yang lama terpisah, misi jelajah berbasikal ini juga bertujuan membuktikan semangat dan kesungguhan dua individu yang mengalami masalah kesihatan, namun masih mampu mengayuh basikal lebih 1,000 km.

“Saya berharap misi bertemu rakan lama ini berakhir dengan kejayaan. Doakan perjalanan kami selamat hingga ke akhirnya tanpa banyak masalah dihadapi,” kata bapa kepada enam anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 6:30 AM