Nur Farrahin Rusli Maran 14, meninggal dunia akibat serangan sawan ketika tidur di asrama Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Hidayah, Kuala Kurau. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Nur Farrahin Rusli Maran 14, meninggal dunia akibat serangan sawan ketika tidur di asrama Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Hidayah, Kuala Kurau. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
BERNAMA

SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua ditemui meninggal dunia akibat serangan sawan dalam bilik asrama puteri Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SBAK) Al Hidayah, Parit Abas, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, Nur Farrahin Rusli Maran, 14, ditemui tidak sedarkan diri dengan mulutnya berbuih di atas katil dalam bilik asrama ketika rakan-rakannya mahu mengejutkan pelajar berkenaan untuk bersahur pada 5.30 pagi.

Beliau berkata, guru sekolah ke asrama selepas diberitahu dua pelajar yang mendapati seluruh badan pelajar itu sejuk dan keras serta muka bengkak.

Katanya guru berkenaan kemudian menghubungi Hospital Parit Buntar dan pegawai perubatan yang datang membuat pemeriksaan mendapati pelajar itu sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke hospital bedah siasat.

"Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan hospital yang menjalankan bedah siasat mengesahkan pelajar itu mati disebabkan saluran pernafasan tersekat akibat pengumpulan cecair berikutan serangan sawan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata keluarga mangsa memberitahu sebelum ini, pelajar itu pernah mendapatkan rawatan akibat penyakit sawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 8:17 PM