AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL AZUMU
Balqis Jazimah Zahari


PENGKHIANATAN sebenar bermula apabila ada cubaan menjatuhkan Menteri Besar Perak sebelum ini, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media perkembangan terkini politik di negeri berkenaan, semalam.

“Apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) maka Bersatu Perak mengambil pendirian sama dengan pendirian peringkat Pusat.

“Lebih-lebih lagi di Perak, kita semua sedar kerajaan PH yang dipimpin saya sebelum ini tiada kestabilan kepada negeri Perak,” katanya.

Menurutnya, sekiranya beliau dilabel pengkhianat mandat rakyat, semua pihak seharusnya sedar pengkhianatan sebenar berpunca daripada cubaan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan sendiri.

“Kita tahu ‘it’s not an open secret’ bagaimana kalau disebut sekarang, orang seperti saya ini (mungkin) sebagai pengkhianat yang membelot mandat daripada rakyat.

“Tetapi kita seharusnya tidak lupa kepada mereka yang menduduki kerusi exco sepatutnya menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

“Namun, mereka lebih sibuk kepada usaha menjatuhkan menteri besar dan juga kerajaan mereka sendiri, jadi pengkhianatan bermula di situ,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau setakat ini masih Menteri Besar Perak sehingga pengumuman baharu dan titah perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah nanti.

“Hari ini saya masih Menteri Besar Perak dan saya berurusan dengan Umno dan Pas.

“Ketiga-tiga kepemimpinan parti sepakat menyembahkan senarai nama yang dicadangkan oleh parti masing-masing kepada Sultan Perak untuk diperkenankan.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 6:40 AM