NUR Shazwani hilang sejak Disember tahun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
NUR Shazwani hilang sejak Disember tahun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

HILANG entah ke mana sejak lebih dua bulan lalu.

Ternyata kehilangan remaja terbabit, Nur Shazwani Shahru Azam, 17, menarik perhatian polis yang kini berusaha mengesan remaja terbabit yang tidak pulang ke rumahnya di pekan ini sejak Disember tahun lalu.

Difahamkan remaja itu keluar dari rumahnya kira-kira jam 10 pagi, 18 Disember lalu namun tidak pulang sebelum laporan polis dibuat ahli keluarganya pada keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu daripada bapanya berusia 47 tahun.

“Menurut pengadu, anaknya memaklumkan kepada ahli keluarga mahu ke sebuah restoran makanan segera di pekan ini sebelum gagal dikesan.

“Difahamkan mangsa dipercayai pergi ke restoran itu bersama seorang rakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai dalam membantu penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan bagi mencari dan mengesan mangsa yang dilaporkan hilang.

“Orang ramai diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam Sarjan Mohd Azizi Felani Abu Hassan di talian 03-32245963 atau 017-2400063 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 8:01 AM