Orang ramai melihat polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan pembaca
Orang ramai melihat polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TIDAK berpuas hati dengan hak milik rumah, seorang lelaki menetak mati kakaknya menggunakan parang dan kapak dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Indah 10, Jinjang Utara di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, lelaki berkenaan dikatakan mengamuk selepas dipercayai hasratnya untuk menjual rumah yang diduduki mereka sekeluarga tidak dipersetujui kakaknya.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa berkata, selain mangsa, suspek tinggal bersama tiga anak lelaki, adik lelaki dan teman wanita adik lelakinya di rumah itu.

“Mangsa sudah bercerai, namun sebelum kejadian ada pergaduhan berlaku akibat perselisihan faham penjualan rumah milik mereka sekeluarga.

“Suspek tiba-tiba mengamuk sebelum menetak mangsa di bahagian leher dan badan,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu suspek dibawa anak saudaranya ke Balai Polis Jinjang untuk menyerah diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan, jam 7 malam tadi.

“Dua lelaki termasuk suspek datang ke Balai Polis Jinjang untuk menyerah diri dan memaklumkan kejadian tetak di rumahnya.

“Pegawai penyiasat dan pasukan perubatan bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan. Pasukan perubatan bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di ruang tamu rumah berkenaan ketika mangsa baru pulang daripada kerja.

“Suspek adalah adik mangsa, dia mengamuk dan terus menetak kepala mangsa beberapa kali menggunakan parang dan kapak.

“Siasatan mendedahkan punca suspek bertindak demikian kerana tidak berpuashati dengan pemilikan rumah yang diduduki oleh simati bersama keluarganya,” katanya.

Katanya, polis merampas senjata digunakan suspek dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 10:37 AM