Fardy Bungga dan Nabihah Kamal.

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang dipercayai menghidap penyakit ‘meroyan’ mengamuk sebelum bertindak menetak suaminya sehingga cedera parah di Taman Beringin, Jinjang Utara, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, ibu mangsa terpaksa melarikan bayi suspek berusia tiga bulan keluar daripada rumah didiami berikutan bimbang turut dicederakan wanita itu.

Beberapa jiran yang menyedari kejadian itu turut membantu ibu mangsa menyembunyikan bayi itu daripada diserang suspek berusia 30-an.

Bagaimanapun, usaha beberapa jiran untuk memasuki rumah berkenaan gagal apabila suspek bertindak mengunci pintu pagar sebelum mengugut membunuh suaminya.

Salah seorang jiran yang ditemui, Muhammad Akhmal Zabri, 24, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru sahaja pulang ke rumah dan melihat kekecohan berlaku di rumah mangsa.

Menurutnya, dia melihat mangsa sedang bergelut dengan isterinya yang memegang sebilah parang dalam keadaan tangannya berlumuran darah.

“Lelaki itu yang dikenali sebagai Suhandry, 30-an, bagaimanapun rebah di ruang tamu rumahnya.

“Ketika sedang bergelut, mangsa sempat mengarahkan ibunya membawa lari bayi mereka berikutan bimbang dicederakan,” katanya.

Dia berkata, wanita itu bagaimanapun memarahi mereka dan mengarahkan supaya anaknya dikembalikan.

“Dia mengugut mahu membunuh suaminya jika bayinya itu tidak diserahkan semula,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya dapat menyelamatkan suami wanita itu yang bermandi darah selepas polis tiba tidak lama kemudian.

“Mangsa mengalami luka serius di bahagian tangan kanannya dan rumah itu turut dipenuhi percikan darah akibat tetakan suspek.

“Wanita itu kemudian digari pihak polis sebelum dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dinda, 28, berkata, kakak iparnya itu mengalami masalah emosi dan sering berkelakuan ganas termasuk pernah cuba untuk membakar anaknya sendiri.

Menurutnya, kakak iparnya itu pernah mengugut untuk terjun dari sebuah pasar raya di Kepong tetapi berjaya dipujuk abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:47 AM