ORANG ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak Koronavirus.
ORANG ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak Koronavirus.
Amir Abd Hamid


UJIAN ulangan pengesahan Covid-19 lewat malam tadi terhadap seorang wanita warga emas Amerika Syarikat (AS) didapati masih positif.

Ini sekali gus menyangkal keputusan ujian Kementerian Kesihatan Kemboja bahawa tiada penumpang positif ketika pemeriksaan dijalankan hasil kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak AS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, ujian Covid-19 dijalankan ke atas wanita AS berusia 83 tahun itu tetap mendapat keputusan positif.

"Wanita itu dan suaminya berusia 85 tahun menjalani ujian ulangan lewat malam tadi dan keputusan yang sama diperolehi iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suaminya.

"Kita tidaklah mahu mempertikaikan. Tetapi apa yang kita buat, apabila sampai kepada kita...kita jagalah.

"Daripada segi Kemboja mereka sudah buat apa yang mereka rasa, kita buat apa yang kita perlu (ujian).

"Mereka hanya lakukan ujian rambang terhadap 20 penumpang, saya rasa kurang dari 10 peratus (penumpang)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi berhubung Penyakit Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Terdahulu semalam, pelancong wanita warga emas dari AS dikesan positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus korona itu dilaporkan di Malaysia setakat hari ini adalah sebanyak 22 kes.

Wanita berusia 83 tahun itu seorang daripada penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang membawa 2,257 individu membabitkan 1,455 penumpang dan 802 krew.

Kapal persiaran itu berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu.

Semua penumpang dan anak kapal dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja selepas memaklumkan bahawa saringan kesihatan sudah dijalankan ke atas mereka.

"Seramai 145 penumpang kapal persiaran itu mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Wanita warga emas itu dan suaminya dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan wanita itu disahkan positif pada 15 Februari manakala suaminya negatif," katanya dalam petikan kenyataan semalam.

Susulan itu, hari ini, pengendali kapal persiaran MS Westerdam dilaporkan dalam Reuters meminta ujian saringan pengesanan perlu dijalankan terhadap pelancong wanita AS itu bagi memastikan status sebenar selain pihak berkuasa Kemboja turut mahukan penjelasan sama dari Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 5:00 PM