FATIMAH meninggal dunia jam 7 malam tadi di Hospital Sungai Buloh.
FATIMAH meninggal dunia jam 7 malam tadi di Hospital Sungai Buloh.
Muhaamad Hafis Nawawi


“MEREKA hanya demam biasa pada mulanya namun kakak yang sakit teruk sehingga koma sebelum kedua-duanya meninggal dunia hari ini,” kata Khuzaimah Che Husin.

Khuzaimah adalah adik ipar kepada Fatimah Sukim, 56, yang meninggal dunia jam 7 malam tadi di Hospital Sungai Buloh sementara suami Fatimah, Erpah Yusuf, 60-an, meninggal dunia jam 2 petang.

Khuzaimah berkata, 22 Januari lalu, kakak iparnya itu sudah ditahan wad di Hospital Tanjung Karang, Kuala Selangor kerana demam sementara suaminya pula dirawat sebagai pesakit luar.

Menurutnya, doktor kemudian membenarkan kakak pulang sehari kemudian selepas dia kelihatan sihat namun kembali demam keesokan harinya sehingga tidak sedarkan diri.

“Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh sementara suaminya tinggal di rumah adiknya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Namun hari ini, kami dikejutkan berita abang meninggal dunia sebelum kakak pula menyusul selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pasangan suami isteri itu tidak pernah pergi ke mana-mana sebelum ini dan minggu lepas dia sempat melawat mereka.

“Abang ada beritahu dia tidak sihat ketika saya melawat mereka.

“Doktor juga ada mengambil darah untuk ujian dan setakat ini kami belum dimaklumkan lagi keputusannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kejadian itu namun ia tiada kaitan dengan kes koronavirus baharu (2019-nCoV).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:46 PM