ZAMANI.
ZAMANI.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur : Abang kepada penyanyi popular, Zamani iaitu Zulfazil Ibrahim, 57, yang meninggal dunia malam tadi selamat dikebumikan di Kampung Melayu Subang, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, hari ini.

Rakan Zamani, Ahmad Naqiuddin ketika dihubungi berkata, dia ada berjumpa dengan Zamani pagi ini dan penyanyi itu amat sedih kerana sebelum dia kehilangan kakak dan sekarang, abangnya pula meninggal dunia.

"Saya pun nak tanya lebih-lebih, keadaan tak sesuai juga. Dengan keadaannya yang baru saja menjalani pembedahan dan masih menjalani sesi fisioterapi, risau juga," katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia pada jam 11.30 malam tadi.

"Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh. Selepas jenazahnya disempurnakan di hospital, jenazah kemudian dibawa ke surau berhampiran kediamannya.

"Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Kampung Melayu Subang dan semuanya selesai sekitar jam 10.30 pagi tadi," katanya.

Difahamkan, Zulfazil ada melawat Zamani ketika menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit Scoliosis pada 7 November lalu.

Sebelum ini, kakak Zamani, Zuraidah meninggal dunia pada 26 September lalu akibat komplikasi buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 2:42 PM