EYRA. FOTO Aziah Azmee
EYRA. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

MESKIPUN keputusan berkahwin pada usia muda pernah mengundang pelbagai reaksi, pelakon Eyra Hazali nekad dengan pilihannya.

Bagi heroin drama Mr Grey itu, keputusannya berpandukan seruan jodoh ditetapkan Allah.

Bertemu dengan Eyra, 21, pada sesi fotografi baru-baru ini, terserlah aura bahagia di matanya.

Tatkala sisi peribadinya ditanya, Eyra tenang dan mesra berbicara tanpa memperlihatkan dia berasa kurang selesa.

Katanya, tempoh perkahwinan dibina bersama suami tercinta, Muhammad Haziq Nadzli, 22, baru masuk bulan kedua.

“Alhamdulillah, kami bahagia dan gembira melayari bahtera rumah tangga yang masih baharu ini.

“Saya bersyukur diizinkan Allah bertemu jodoh dengan Haziq pada usia muda.

“Kehidupan saya sekarang sudah lengkap dan apa yang kami doa moga ikatan cinta ini kekal hingga akhir hayat,” katanya.

Eyra kini menetap di Johor Bahru bersama suami yang juga pemain bola sepak skuad kebangsaan dan penjaga gawang pasukan Johor Darul Ta’zim II.

Katanya, biarpun berjauhan dengan keluarga tetapi dia akan ke Kuala Lumpur jika ada urusan kerja.

“Suami sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon.

“Namun, dengan status isteri orang, rumah tangga kini menjadi keutamaan.

“Saya akan terus berlakon, cuma teliti dengan tawaran.

“Saya selesa membaca dan memahami skrip terlebih dulu.

“Jika sesuai, saya terima. Apa yang pasti saya tidak akan melakonkan babak terlalu romantik dan bersentuhan,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali itu, dia perlu menjaga nama baik dan maruah keluarga.

Katanya, sebelum berkahwin dia sangat menjaga batas pergaulan kerana tidak mahu mencemar nama baik ibu bapa tetapi sekarang sudah pasti maruah suami harus dipelihara.

“Sebagai isteri, penting untuk saya menjaga nama baik dan maruah suami.

“Apatah lagi kami dikenali masyarakat.

“Saya aktif dalam kerjaya seni dan suami pula di arena sukan.

“Jadi, semestinya kami perlu bijak membawa diri,” katanya.

Ditanya perancangan menimang cahaya mata, Erya berkata dia dan suami sudah bersedia.

“Namun, masih belum ada rezeki. Apapun, anak ialah rezeki Allah dan kami sudah bersedia sepenuhnya.

“Saya dan Haziq memilih berserah kepada Allah.

“Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik,” katanya yang sah bergelar isteri Haziq pada 1 November lalu.

EYRA. FOTO Aziah Azmee
EYRA. FOTO Aziah Azmee

Tonton Filem M4M4 di pawagam

Dalam pada sibuk mengurus rumah tangga, Eyra tetap meluangkan masa mempromosikan filem lakonannya.

Anak kelima daripada lapan beradik itu akan muncul dengan filem berjudul M4M4 di pawagam pada 6 Februari depan.

Melakonkan watak Elly dalam filem itu, Eyra berkata karakter itu memiliki kekuatan tersendiri.

“Walaupun watak pembantu, karakter Elly penuh misteri.

“Ia pengalaman baru buat saya.

“Bukan mudah merealisasikan watak ini kerana berlakon filem tidak sama seperti drama.

“Ia memerlukan fokus yang tinggi malah saya memberikan komitmen terbaik bagi memahami tuntutan watak,” katanya.

Menurut Eyra, dia puas dengan lakonannya tetapi berdebar menunggu penerimaan penonton di pawagam.

Apatah lagi ketika membintangi M4M4 dia belum berhijab dan bersedia menerima kritikan penonton.

Filem seram thriller arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Faizal Hussein, Nabila Huda, Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Ungku Hariz, Niezam Zaidi, Izzy Reef dan Amanda Hariz.

Mengulas kerjasama dengan Nabila, Eyra berkata anak penyanyi Amy Search itu bintang yang hebat.

Jelas Eyra, walaupun babak antara mereka tidak banyak Nabila tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:00 AM