KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa tiga wanita warga Thailand. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa tiga wanita warga Thailand. FOTO Ihsan Bomba
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TIGA wanita warga Thailand maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan treler dan Toyota Hilux di kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, di Bentong, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, tiga wanita dikenali sebagai Yawiyah, 53, Maskah, 49, dan Jantana, 43, maut di tempat kejadian sementara suami Yawiyah dikenali sebagai Mama, 55, parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, keempat mereka yang menaiki Toyota Hilux dipandu Mama dikatakan dalam perjalanan dari ibu negara untuk pulang ke Thailand.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu dari Klang, Selangor menuju ke Kuala Krai, Kelantan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan berselekoh sebelum terbabas ke lorong kiri.

“Ekoran itu treler berkenaan melanggar tembok kiri jalan sebelum terbalik di atas Toyota Hilux dinaiki warga Thailand terbabit yang berada di lorong kiri.

“Kejadian turut menyebabkan Toyota Hilux diseret sejauh 100 meter hingga ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu juga mengakibatkan pemandu treler Mohd Ali Mohamed@Abdullah, 31, parah seluruh anggota badan dan kelendan Mat Ripha Ismail, 52, cedera di kaki dan tangan.

Katanya, pihak bomba turut dipanggil ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke hospital.

Yusuf berkata, Mohd Ali kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sementara Mat Ripha dan Mama dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bentong.

“Mangsa yang maut dibawa ke bahagian Forensik Hospital Bentong untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang diteruskan termasuk mengesan saksi kemalangan dan polis akan mendapatkan keterangan mangsa yang selamat sebaik keadaan mengizinkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 10:54 AM