KEADAAN bas yang melanggar treler. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN bas yang melanggar treler. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA penumpang parah, manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dengan sebuah treler di Kilometer 42.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala timur, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, lima mangsa wanita berkenaan adalah antara 39 penumpang bas terbabit yang membawa rombongan guru dari sebuah sekolah menengah di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata, bas berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan ke Kelantan, manakala treler terbabit yang dipandu lelaki berusia 32 tahun juga dari arah yang sama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu jalan menuruni bukit, brek bas berkenaan dipercayai gagal berfungsi menyebabkan pemandu mengelak ke kiri. Tindakan itu menyebabkan bas berkenaan melanggar besi penghadang jalan serta sisi kiri belakang treler itu sejauh 100 meter ke hadapan sebelum berhenti.

“Kejadian terbabit mengakibatkan lima mangsa wanita cedera dalam kejadian itu dengan dua daripada mereka parah dan dihantar ke Hospital Temerloh, manakala tiga lagi cedera ringan menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Yusuf berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pemandu bas berkenaan didapati keputusan positif dadah jenis methaphetamin.

“Pemandu bas berkenaan kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:28 AM