Pihak berkuasa membawa keluar mangsa yang maut selepas khemah didiami mereka dihempap pokok. FOTO Ihsan JBPM
Pihak berkuasa membawa keluar mangsa yang maut selepas khemah didiami mereka dihempap pokok. FOTO Ihsan JBPM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA maut, dua lagi parah selepas khemah yang didiami mereka dihempap pokok di kawasan perkelahan Lata Hammer, Bentong malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa Winnie Tan Gaik Kin dan Chin Kean Hwa disahkan maut di lokasi selepas ditemui pasukan penyelamat yang melakukan operasi mengesan mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian 25 individu melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan itu sebelum berlaku kejadian terbabit.

“Pokok berukuran kira-kira 30 meter panjang dengan lilitan diameter dua meter tumbang dan menghempap kumpulan yang mendirikan khemah di kawasan itu.

“Polis dan sepasukan pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis bertugas bersama 15 anggota bomba menemui mangsa dianggarkan berusia 40 hingga 50 tahun sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, dua mangsa iaitu Tan Wai Hong cedera kaki, tangan dan dada sementara Leong Yau Lai cedera di bahagian kaki kiri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya.

Anggota bomba membawa mangsa keluar dari tapak perkhemahan. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba membawa mangsa keluar dari tapak perkhemahan. FOTO Ihsan JBPM

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi membawa keluar mangsa yang parah dari ketinggian 60 meter.

“Mangsa yang berjaya dibawa keluar dari kawasan perkhemahan itu segera dibawa ke Hospital Bentong.

“Anggota kita kemudian meneruskan pencarian sebelum menemui dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:46 AM