SEPORA masih menjadi nelayan di usia 104 tahun. (Gambar kanan), Sepora menunjukkan kemahiran menganyam tikar mengkuang. FOTO ihsan Rusli Ahmad dan Mohamad Amri Othman.
SEPORA masih menjadi nelayan di usia 104 tahun. (Gambar kanan), Sepora menunjukkan kemahiran menganyam tikar mengkuang. FOTO ihsan Rusli Ahmad dan Mohamad Amri Othman.
Redzuan Muharam


USIA Sepora Amin sudah menjangkau 104 tahun, namun kudratnya masih kuat untuk mencari rezeki sebagai nelayan di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.

Malah, pekerjaan itu seperti sudah sebati dengan Sepora hingga dia tidak jemu turun ke laut setiap hari walaupun sudah lebih 90 tahun bergelar nelayan.

Menceritakan keistimewaan warga emas itu, cucunya, Rusli Ahmad, 55 berkata, neneknya menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun dan turut menghasilkan tikar mengkuang untuk dijual kepada penduduk tempatan selain menangkap hasil laut.

“Nenek tinggal berseorangan sejak atuk meninggal dunia akibat sakit jantung, 11 tahun lalu, tetapi anak dan cucunya menetap tidak jauh dari rumahnya.

“Rutin harian nenek adalah ke laut dan seawal jam 9 pagi, dia sudah berjalan dari rumah ke jeti untuk melakukan pekerjaannya iaitu menangkap udang dan lain-lain lagi hasil laut.

“Sebelum 12 tengah hari, nenek akan pulang ke rumah dan meneruskan aktiviti membuat tikar mengkuang pada sebelah petang.

“Sesekali, nenek melakukan demonstrasi di hadapan pelancong yang datang ke Langkawi sebelum menjual hasil kerja tangannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya rahsia kesihatan Sepora, Rosli berkata, neneknya amat menitikberatkan soal pemakanan dan banyak makan ulam-ulaman dan sayuran segar yang tidak disembur dengan racun perosak sejak di usia muda lagi.

Katanya, kegigihan berjalan kaki berbanding menaiki kenderaan antara faktor mempengaruhi tahap kesihatan neneknya.

“Setahu saya, nenek memang gemar makan sayuran antaranya pucuk ubi kayu, cuma dulu makanan lebih segar berbanding sekarang.

“Mungkin sebab itu, nenek masih kuat dan sebagai cucu, saya kagum dengan semangatnya yang masih gigih mencari rezeki sehingga sekarang.

“Cuma, sejak tularnya kisah nenek di laman sosial, ada segelintir warganet membuat andaian bahawa keluarga mengabaikan nenek sedangkan anak dan cucu tinggal berhampiran serta masih menjaga kebajikannya (nenek) sehingga sekarang.

“Namun, saya bangga dengan nenek dan berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada semua terutama generasi muda,” katanya.

Kisah Sepora mendapat perhatian warganet selepas seorang pemuda, Mohamad Amri Othman, 28, memuat naik gambar warga emas itu di Twitter pada 19 Disember lalu kerana kagum dengan semangat wanita berkenaan yang masih aktif mencari rezeki sebagai nelayan di usia 104 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 9:54 PM