JAMALUDIN bertanya khabar Tok Pora ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Berembang, Pulau Tuba. FOTO Bernama
JAMALUDIN bertanya khabar Tok Pora ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Berembang, Pulau Tuba. FOTO Bernama
Hamzah Osman


BEKERJA setiap hari untuk keluarkan peluh, selain amalan makan ikan rebus dan ulam menjadi rahsia nenek berusia 104 tahun, Tok Pora untuk kekal sihat.

Malah, pada usia lebih satu abad, Tok Pora atau Sepora Amin dikagumi penduduk kerana masih gigih turun ke laut untuk bekerja sebagai nelayan pantai.

Tok Pora yang menetap di Kampung Teluk Berembang, Pulau Tuba, Langkawi, berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk bersara dari pekerjaan itu.

“Dari zaman muda, saya memang tak boleh duduk diam, jika tak buat kerja, badan sakit kerana tak keluar peluh dan kadang kala sehingga demam.

“Kalau dapat turun ke laut untuk tangguk udang siring dan cari siput tepi pantai, badan jadi sihat,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dia yang kematian suami lebih 20 tahun lalu berkata, dia menjadi nelayan sejak berusia belasan tahun dan menu hariannya adalah ikan rebus dan ulam.

“Tangguk udang buat belacan ini tok lakukan sejak zaman remaja lagi, dan terus buat pekerjaan sama selepas berkahwin dan hingga kini.

“Anak cucu selalu larang tok supaya berhenti jadi nelayan, tapi tok tak boleh duduk saja, rasa senak perut dan mula datang penyakit,” katanya.

Terdahulu, Tok Pora dikunjungi Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman untuk meninjau kehidupan warga emas itu.

Ini berikutan kisah Tok Pora yang gigih bekerja sebagai nelayan walaupun usia mencecah satu abad tular di Facebook dan WhatsApp.

Jamaludin berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan bantuan peralatan dan kebajikan kepada Tok Pora.

“Antara bantuan diperlukan Tok Pora ialah peralatan memproses udang menjadi belacan, selain meneliti permintaan memperbaiki rumahnya yang uzur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 3:36 PM