GAMBAR lelaki dijaja sindiket Love Scam hingga dituduh kasanova perdaya 20 wanita.
GAMBAR lelaki dijaja sindiket Love Scam hingga dituduh kasanova perdaya 20 wanita.
Mary Victoria Dassmary


DITUDUH sebagai ‘kasanova’ berbahaya di media sosial kononnya gemar mempermainkan hati dan perasaan sekurang-kurangnya 20 wanita tempatan bagi mendapatkan wang.

Bukan itu saja, dia turut dituduh sebagai dalang penipuan Love Scam apabila ada antara mangsa terbabit pernah diperdaya hingga menyerahkan wang mencecah RM200,000 sebelum ini.

Bagaimanapun lelaki terbabit, Hazman Halid, 40, menyangkal tuduhan itu selepas menyedari gambar wajahnya dijaja sindiket penipuan Love Scam yang menyamar untuk memikat ramai mangsa sejak setahun lalu.

Hazman yang juga pakar teknologi maklumat (IT) dan bertugas di Vienna, Austria, berkata, dia tidak menyangka gambar peribadinya di dalam Facebook (FB) dicuri oleh sindiket Love Scam untuk menipu ramai wanita.

Katanya, dia hanya menyedari perkara terbabit menerusi beberapa kenyataan dimuat naik di media sosial oleh wanita tempatan tidak dikenali yang bertindak memburuk-burukkan namanya selain melemparkan tohmahan palsu.

HAZMAN membuat laporan polis.
HAZMAN membuat laporan polis.

“Saya tidak kenal siapa mereka. Namun apabila disiasat, saya terkejut apabila mendapati mereka menjadi mangsa individu yang menyamar sebagai saya.

“Hasil siasatan mendapati, penjenayah siber ini menggunakan beberapa akaun FB palsu yang menampilkan foto saya. Suspek menggunakan pelbagai nama antaranya Mohammed Sarki, Usman Rehan, Muhammed Hazim, Alvin Khoo, Sam Val Lawal dan pelbagai nama palsu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperolehi, sindiket Love Scam itu aktif memujuk mangsa di kalangan wanita tempatan untuk mendapatkan wang dengan pelbagai taktik meraih simpati.

“Sasaran sindiket terbabit adalah memerangkap wanita mewah yang hidup kesunyian sebelum harta mereka dikikis. Penjenayah kemudian menghilangkan diri menyebabkan mangsa berusaha untuk menjejaki dalang yang melakukannya.

HAZMAN memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan menggunakan gambarnya.
HAZMAN memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan menggunakan gambarnya.

“Akibatnya ramai mangsa yang berang menyebarkan gambar saya di media sosial hingga menjejaskan imej saya, anak-anak dan keluarga di Malaysia,” katanya yang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna,” katanya.

Menurutnya, dia pernah membuat laporan polis di Balai Polis KLIA2 pada April lalu sebaik pulang ke Kuala Lumpur, namun hingga kini sindiket penipuan itu masih meneruskan kegiatan dengan menjaja gambarnya.

“Malah, lebih teruk apabila ada antara mangsa yang tertekan mengugut untuk mencederakan anak-anak saya yang tinggal bersama ibu di Subang Jaya.

“Paling membimbangkan adalah ada antara wanita itu mengugut mahu mencederakan anak saya dengan menyimbah teh panas. Mangsa mendakwa mengetahui lokasi anak-anak saya kerap bertemu rakan di sekitar USJ, Subang Jaya.

“Memandangkan saya merantau di luar negara dan kini bertugas di Vienna, Austria, saya tidak berpeluang memantau keselamatan anak dan ia pasti mengundang kebimbangan,” katanya.

ANTARA akaun Facebook dan Instagram yang menggunakan foto Hazman untuk memperdaya wanita tempatan.
ANTARA akaun Facebook dan Instagram yang menggunakan foto Hazman untuk memperdaya wanita tempatan.

Hazman tidak menyangkal tarikan fizikal pada wajah serta kerjayanya menjadi faktor utama sindiket menyalahguna gambar dikongsi di FB bagi tatapan pengikutnya.

Dia yang berstatus duda dan memiliki tiga anak kerap membuat laporan kepada pihak pengendali FB bagi memaklumkan penipuan dan kewujudan FB palsu menggunakan gambarnya.

“Saya menjadi mangsa keadaan kerana tidak tahu menahu jenayah yang berlaku. Selama ini saya lebih gemar menggunakan laman sosial untuk beramal, berkongsi pengalaman dan mengikuti perkembangan trend terkini.

“Saya percaya kebanyakan sindiket yang menyalahgunakan foto peribadi saya itu didalangi sindiket penipuan Nigeria. Ada antara mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM200,000,” katanya.

Menurutnya, wanita di luar sana seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mudah menjalin hubungan percintaan menerusi media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 7:00 AM