Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Upah penghantaran lumayan antara RM100,000 menjadikan segelintir keldai dadah terutamanya wanita sanggup menelan barangan haram berkenaan untuk diseludup keluar dari negara ini.

Taktik yang mendedahkan pelakunya kepada risiko kematian itu digunakan sindiket dadah antarabangsa hasil kelicikan warga Afrika memanipulasi golongan berkenaan untuk menjadi keldai dadah.

Sumber mendedahkan kebanyakan warga Afrika yang sering membuat onar di Malaysia berasal dari Nigeria.

“Mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti pengedaran/ penyeludupan dadah, pelacuran, penipuan (Macau Scam/Love Scam) dan Black Money,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai taktik penyeludupan itu, sumber mendedahkan, sindiket akan merekrut wanita untuk dijadikan keldai dadah.

“Mereka akan mendekati sasaran (wanita tempatan) di kelab malam, pusat beli -belah ataupun mendekati melalui laman sosial seperti Facebook (FB),” katanya.

Sumber berkata, peringkat seterusnya sindiket akan membelanjakan wang yang banyak kepada wanita terbabit sehingga ratusan ribu ringgit bagi memastikan agenda mereka merekrut mangsa berjaya.

“Belanja di pusat hiburan untuk satu malam sahaja dah cecah RM10,000. Itu tidak termasuk pemberian hadiah seperti beg tangan mewah, bayaran bulanan kereta ataupun rumah. Memang mereka belanja mewah untuk pikat wanita tempatan.

WARGA Afrika terutama daripada Nigeria yang sering membuat onar di Malaysia. -Foto NSTP
WARGA Afrika terutama daripada Nigeria yang sering membuat onar di Malaysia. -Foto NSTP

“Selepas suspek yakin mangsa sudah termakan umpannya, dia akan menawarkan pekerjaan berkenaan iaitu seludup dadah keluar dari Malaysia ke beberapa negara ketiga seperti Australia dan Korea Selatan.

“Kebanyakan keldai dadah mengetahui mereka membawa dadah namun tetap mengambil risiko berkenaan disebabkan gelap mata dengan upah ditawarkan sindiket,” katanya.

Ditanya alasan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana membawa dadah, sumber itu berkata, apa pun alasan diberikan mereka yang mendakwa menjadi mangsa penipuan tidak benar sama sekali.

“Semuanya tahu barangan yang mereka bawa. Itu hanyalah alasan mendakwa mereka ditipu ataupun diperangkap bagi mendapatkan simpati,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat ketika dihubungi berkata, pelbagai taktik atau modus operandi digunakan sindiket dadah untuk menyeludup barangan berkenaan masuk atau keluar dari Malaysia.

“Bukan sahaja wanita direkrut menjadi keldai dadah, sebaliknya orang lelaki pun ramai. Semua berpunca dari sikap tamak untuk dapatkan wang mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:00 AM