Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya yakin dia (anak) terpedaya janji manis yang diberikan seorang wanita warga Kemboja dipercayai sindiket 'love scam' sehingga dia sanggup melarikan diri ke negara itu.

"Saya tidak pasti apa keadaannya sekarang, sama ada masih hidup atau sebaliknya," kata Chua, bapa kepada lelaki yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu.

Joshua Chua Beng Hoe, 43, yang bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah restoran francais di ibu kota tidak pulang ke rumah selepas keluar pada hari kejadian.

Menceritakan kejadian, Chua, 70, berkata anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu keluar rumah untuk beriadah seperti kebiasaan dilakukan pada hari cuti.

Menurutnya, Joshua tidak menunjukkan sebarang perubahan sehinggalah dia tidak pulang ke rumah pada malam itu dan keesokannya majikan menghubungi memaklumkan dia tidak datang bekerja.

CHUA menunjukkan gambar anaknya Joshua Chua yang juga OKU pekak dan bisu didakwa menjadi mangsa Love scam. Turut kelihatan Michael Chong. FOTO Hazreen Mohamad.
CHUA menunjukkan gambar anaknya Joshua Chua yang juga OKU pekak dan bisu didakwa menjadi mangsa Love scam. Turut kelihatan Michael Chong. FOTO Hazreen Mohamad.

"Saya masuk ke dalam biliknya dan mendapati beberapa pakaiannya tiada. Saya turut menemui beberapa resit pemindahan wang secara keseluruhan berjumlah RM2,999 atas nama seorang wanita warga Kemboja yang tidak dikenali.

"Saya mula berasa pelik dan mengesyaki sesuatu berlaku lalu menghubungi rakan sekerjanya untuk mendapatkan maklumat. Rakannya beritahu anak saya 'bercinta' dengan wanita itu.

"Saya juga diberitahu Joshua berkenalan dengan wanita itu melalui Facebook sejak tahun lalu dan sering memindahkan wang. Saya temui gambar wanita itu di dalam telefon bimbit lamanya," katanya dalam sidang media di Pejabat MCA di sini, hari ini.

Susulan itu, Chua berkata, keluarga membuat laporan polis mengenai kehilangan Joshua selain memohon bantuan Wisma Putra untuk mengesan anaknya itu.

Katanya, berdasarkan semakan pihak terbabit mendapati Joshua yang juga duda seorang anak memperbaharui pasport pada 26 April lalu dan menaiki penerbangan ke Kemboja pada 10.28 pagi, 27 Mei lalu.

"Saya hairan bagaimana dia perbaharui pasport sedangkan pasport lamanya masih berada di dalam simpanan saya.

"Saya sangat bimbang keselamatan Joshua kerana dia OKU, malah menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang yang memerlukan rawatan susulan di hospital. Saya tidak tahu berapa lama dia boleh bertahan dengan ubatnya.

"Apa saya takuti anak saya mungkin menjadi mangsa sindiket penipuan atau penjualan organ," katanya berharap pihak berkuasa membantu membawa anaknya pulang dengan selamat.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak kedutaan untuk tindakan lanjut.

Beliau tidak menolak kemungkinan Joshua menjadi mangsa penipuan sindiket love scam dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 2:29 PM