ANTARA pelajar yang mengambil dan menikmati makanan percuma.
ANTARA pelajar yang mengambil dan menikmati makanan percuma.
Oleh Rosyahaida Abdullah


HAMPIR setiap hari Maisarah Hannan Chong Abdullah, 34, akan berdepan pelajar bermasalah atas kapasitinya sebagai guru bimbingan dan kaunseling sekolah.

Rata-ratanya dirujuk kepada beliau oleh guru kelas pelajar berkenaan disebabkan isu kehadiran, kurang tumpuan di dalam bilik darjah serta lemah akademik.

Sama ada kebetulan atau tidak, hakikatnya dalam semua pelajar dikendalikan beliau, majoriti mereka berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah.

“Soalan awal saya kepada pelajar ketika sesi kaunseling akan berkisarkan mengenai bagaimana mereka datang ke sekolah setiap hari, apa mereka makan pada hari itu, berapa duit belanja dibawa dari rumah dan lain-lain berkaitannya.

“Kebanyakan jawapan yang saya terima memang boleh menitiskan air mata. Ada antara mereka bukan saja tidak makan sebelum ke sekolah malah tidak juga membawa duit belanja mahupun bekal makanan dari rumah.

“Lebih menyedihkan, ada pula berjalan kaki seorang diri ke sekolah sedangkan jarak dari rumah mereka bagi saya sangat jauh,” kata Maisarah.

Bertugas untuk sesi petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia, Sandakan, Sabah, Maisarah berkata, sesi kaunseling turut mendedahkan pelbagai aspek lain di rumah yang hampir pasti menjadi pendorong kepada terjadinya masalah di sekolah.

Antaranya, masalah keluarga seperti bapa gagal dikesan justeru ibu berseorangan menggalas tanggungjawab mencari nafkah untuk anak yang mencecah belasan orang.

Disebabkan keadaan itu juga, ada pelajar yang ponteng sekolah semata-mata ingin membantu ibu mencari rezeki apa lagi memikirkan untuk ke sekolah pun bukannya dekat dan perlu berjalan kaki.

“Apabila ditanya lanjut, ada juga pelajar yang cuma makan nasi berlaukkan garam di rumah. Apabila beras mulai susut, buburlah santapan mereka sekeluarga.

“Jika berkelapangan, saya akan ke rumah mereka untuk lihat keadaan tempat tinggal serta bertanya sendiri dengan ibu pelajar berkenaan.

“Dan realitinya, memang ada antara mereka yang menahan lapar untuk teruskan hidup. Justeru hadir sekolah tidak lagi penting sebaliknya mencari sesuap nasi jadi keutamaan,” katanya.

MAISARAH melawat rumah pelajarnya dan menyerahkan bantuan makanan.
MAISARAH melawat rumah pelajarnya dan menyerahkan bantuan makanan.

Rentetan itu, guru yang berasal dari Tawau ini mula mencari inisiatif untuk membantu pelajar miskin di sekolahnya bagi memastikan mereka tidak kelaparan ketika belajar di sekolah.

Bermula Mac tahun lalu, dengan duit sendiri, Maisarah menyediakan 15 hingga 20 pek makanan bermodalkan sekitar RM1 setiap satu yang diletak di rak khas di luar bilik guru sekolah terbabit pada setiap Selasa, Rabu dan Jumaat.

Disambut baik pihak pengurusan sekolah untuk melaksanakannya, Maisarah menyediakan makanan seperti kuih, mi goreng, nasi lemak dan roti itu yang ditempah, dibeli atau dimasak sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 10:00 AM