Suraya Roslan


“NASIB saya tidak memandu dalam keadaan laju, jika tidak apalah nasib saya ketika itu.

“Mujur juga tayar ini tidak mengena penunggang motosikal,” kata Muhamad Jufri Jamaludin, 24.

Muhamad Jufri adalah individu yang merakam video tayar lori tercabut dan bergolek sejauh hampir satu kilometer di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Jumaat lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika dia sedang memandu dari Keramat menuju ke Shah Alam sebelum dikejutkan dengan tayar lori tercabut.

“Kejadian berlaku di susur persimpangan ke Genting-Gombak dan kebetulan saya nampak sebuah lori dipandu dalam keadaan perlahan.

“Saya tidak nampak apa-apa kemalangan sebelum menyedari tayar bergolek di tengah jalan sebelum mengambil telefon bimbit dan merakamnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kejadian buruk akan berlaku berikutan tayar berkenaan bergolek di lorong paling kanan.

“Nasiblah ada beberapa penunggang memperlahankan motosikal dan mengawal lalu lintas, jika tidak pasti kejadian buruk boleh berlaku.

“Saya fikir tayar berkenaan bergolek lebih satu kilometer sebelum meneruskan perjalanan kerana mengejar masa untuk ke tempat kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:30 PM
VIDEO dirakam Muhamad Jufri yang tular di media sosial. FOTO IHSAN MUHAMAD JUFRI JAMALUDIN
VIDEO dirakam Muhamad Jufri yang tular di media sosial. FOTO IHSAN MUHAMAD JUFRI JAMALUDIN