KEADAAN kereta rosak teruk akibat dihentam tayar lori di Lebuhraya Elite, Selangor. FOTO ihsan Pembaca
KEADAAN kereta rosak teruk akibat dihentam tayar lori di Lebuhraya Elite, Selangor. FOTO ihsan Pembaca
Samadi Ahmad


Sepang: Seorang lelaki berhadapan detik cemas apabila kereta dipandunya dihempap tayar lori yang tercabut dalam kejadian di Kilometer 27.2 Lebuhraya Elite menghala Utara dekat sini semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 39 tahun yang memandu Perodua Aruz mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku apabila tayar lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 30 tahun tercabut di bahagian sebelah kiri manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori itu dari arah Linggi, Negeri Sembilan menuju ke Ipoh dan setiba di tempat kejadian pemandu mendengar bunyi pada lori lalu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan sebelum melihat tayar tercabut dan menghempap kereta berkenaan.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan dan isteri mangsa memaklumkan suaminya pulang ke rumah di Kundang, Rawang, Selangor selepas menerima rawatan.

"Kenderaan yang terbabit kemalangan dibawa ke IPD Sepang untuk pemeriksaan".

"Polis merayu saksi kejadian untuk tampil membantu memberi maklumat dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 10:30 AM