SALAH seorang mangsa menerima rawatan selepas dirempuh tayar treler yang tertanggal (gambar kanan) di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Lumut. FOTO IHSAN PEMBACA
SALAH seorang mangsa menerima rawatan selepas dirempuh tayar treler yang tertanggal (gambar kanan) di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Lumut. FOTO IHSAN PEMBACA
Noor Hidayah Tanzizi


DUA wanita parah selepas motosikal dinaiki dirempuh tayar treler yang tercabut di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 10.10 pagi, dua mangsa berusia 19 dan 22 tahun masing-masing parah di kaki serta tangan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Ipoh menghala ke Lumut manakala motosikal pula dari arah bertentangan.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila dua tayar treler tercabut dan kemudian melantun ke arah motosikal dinaiki dua wanita terbabit.

“Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 19 tahun patah kedua-dua kaki selain mengalami pendarahan dalaman.

“Wanita berusia 22 tahun yang juga pembonceng motosikal pula patah peha dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu lori tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:54 PM