Rizanizam Abdul Hamid

MELAKA: “Ketika menghantar anak bongsunya ke rumah Selasa lalu, ibu ada bertanyakan di mana Norfazera, tetapi adik ipar memberitahu isterinya itu tidak dapat dihubungi,” kata Norhafizah Bidin, 33.

Norhafizah adalah kakak sulung Norfazera, wanita berusia 27 tahun yang dipercayai mati dibunuh bersama anaknya berusia 11 tahun yang mayatnya ditemui dikerat kepada lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong, kelmarin.

Wanita itu turut mengesahkan gambar yang tular mengaitkan pembunuhan kejam itu adalah adik iparnya yang berusia 27 tahun dan anak saudaranya, Muhammad Iman Asraf, 11.

“Kali terakhir Norfazera menghubungi ibu adalah Ahad lalu memaklumkan mahu meraikan hari jadinya di Kuala Lumpur keesokan harinya bersama suami dan dua anaknya, Muhammad Iman dan yang bongsu berusia dua tahun.

“Dia yang tinggal bersama ibu jika suami bekerja di Singapura beri alasan mahu membeli pakaian baru sempena hari pernikahan adik saya, Munirah, 20 Oktober ini,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka di sini, semalam.

Menurut Norhafizah, itu adalah kali terakhir ibunya dapat berhubung dengan Norfazera yang juga anak bongsu daripada tiga beradik sebelum dia gagal dihubungi sejak malam Isnin lalu.

Katanya, Norfazera mempunyai empat orang anak berusia antara dua hingga 11 tahun hasil dua perkahwinan terdahulu dan hanya menjaga anak sulung dan anak keempat.

“Anak kedua dan ketiga dijaga bekas suami manakala perkahwinan terbaharu sejak setahun lalu belum dikurniakan cahaya mata.

“Sepanjang perkahwinan, suaminya yang juga warga Singapura dikenali dengan sifat yang sangat baik dan tidak pernah memarahi isterinya malah kali terakhir ibu menemuinya Isnin lalu, dia juga kelihatan seperti biasa,” katanya.

Norhafizah berkata, dia sekeluarga yang masih terkejut dengan kejadian itu turut merayu orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar mayat dipercayai adik dan anak saudaranya itu.

“Tolonglah hentikan sebar gambar dan maklumat itu yang hanya mengganggu siasatan polis dan mengguris perasaan kami.

“Kami pun akan terus memberi kerjasama kepada pihak polis termasuk menjalani ujian DNA (asid deoksiribonukleik) esok bagi memastikan identiti mayat yang ditemui semalam (kelmarin).

“Tambahan pula, adik (Munirah) memberitahu polis memaklumkan mayat ditemui semalam tidak sempurna termasuk bahagian kepala yang belum ditemui,” katanya.

LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro

Tiada perubahan pada suami mangsa

MELAKA: “Kali terakhir suami mangsa balik ialah minggu lepas dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya menegur jiran seperti biasa,” kata jiran kepada mangsa bunuh yang mayat ditemukan dikerat di Kampung Ladang, Krubong di sini, petang kelmarin.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, sejak mendiami rumah dua tingkat itu hampir dua tahun lalu, dia tidak pernah mendengar mangsa dan suaminya bergaduh.

“Walaupun mereka jarang balik, tapi sesekali bila pulang, mereka tetap menyapa saya dan tidak menunjukkan seperti mempunyai masalah dalam hubungan mereka.

“Minggu lepas, ibu saya ada terserempak dengan suami mangsa dan tidak menunjukkan perubahan.

“Memang pasangan itu dan tiga anaknya jarang balik ke sini kerana suaminya bekerja di Singapura dan hanya pulang beberapa kali dalam sebulan,” katanya ketika ditemui semalam.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 10:00 AM