CIAPAN Fahaizal mendapat balasan Tunku Azizah.
CIAPAN Fahaizal mendapat balasan Tunku Azizah.
Samadi Ahmad


REMAJA berstatus orang kurang upaya (OKU) Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee, 21, dari Semenyih, Selangor berhasrat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Nurul Sharmine berkata, keinginannya bertemu pasangan diraja itu kerana amat meminati baginda berdua yang terkenal dengan sikap mesra rakyat dan prihatin tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, hasrat itu disampaikan kepada baginda melalui ciapan di akaun Twitter milik bapanya, Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47, dan mendapat balasan melalui Twitter Tunku Azizah @cheminahsayang yang bertanyakan alamat kediaman mereka.

“Saya merasa teruja sekiranya baginda memperkenankan harapan saya walaupun untuk sembuh masih samar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fahaizal menciap di laman Twitter kepada Tunku Azizah: “Assalamualaikum Tuanku Permaisuri Azizah, ampun Tuanku ini kali kedua saya merayu kepada Tuanku berdua sekiranya dapat melaksanakan impian adik Nurul yang sekarang ini terlantar di rumah dan kesihatan semakin merosot dapat berjumpa baginda berdua.”

Ciapan itu kemudiannya mendapat respon Tunku Azizah.

Titah baginda: “Saya ada tanya alamat tapi tidak diberi, hanya sebut sudah keluar hospital.”

Ciapan itu turut mendapat tanda suka lebih 2,000 netizen dan mendoakan permintaan Nurul Sharmine itu mendapat perkenan pasangan Diraja itu.

Nurul Sharmine yang berkelulusan Diploma Sains Komputer dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)sudah hampir setahun terlantar berikutan lumpuh separuh badan.

Penyakit anak kedua dari enam beradik itu bermula apabila dia tidak dapat merasakan kakinya menjejak lantai selepas diserang demam panas pada tahun lalu.

Sementara itu, Fahaizal berkata, hasrat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri itu disuarakan anaknya sejak dua minggu lalu yang beriya-iya untuk bertemu dengan idola yang disanjung ramai.

Katanya, dua minggu lalu anaknya dirawat di hospital dan sejak akhir-akhir ini dia kerap diserang sawan dan keadaan kesihatannya juga semakin merosot.

Katanya, perbelanjaan bagi mengurus anaknya agak tinggi dan bergantung dengan jualan baju wanita secara kecil-kecilan selain menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia yang terpaksa berhenti kerja akibat derita tulang belakang selain menghidap vertigo berkata, pada minggu lalu, dia beberapa kali menghubungi pihak istana dan bercakap melalui telefon dengan seorang pegawai bagi menyampaikan hasrat anaknya itu.

“Sebelum ini kami sekeluarga pernah menunaikan beberapa permintaan Nurul Sharmine dengan berjumpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan dua selebriti Zamani Slam dan Rahim Raja Lawak dari kumpulan Sepahtu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:17 PM