Muhammad Apendy Issahak


TIGA lelaki termasuk dua warga Iran dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar syabu seberat 20.89 kilogram (kg) di sebuah pusat ternakan ikan di Behrang Stesen, tiga tahun lalu.

Pekerja trak tunda, M Dinesh, 23; warga Iran yang juga jurulatih sukan, Shervin Khoshhal Sarvandani, 27 dan pengusaha butik, Mohammad Mahdi Tyhim Nazlo, 29, dijatuhi hukuman itu selepas gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Ia diputuskan Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali.

Pada prosiding itu, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan.

Dinesh diwakili peguam G Jaya Prem, manakala dua warga Iran berkenaan diwakili peguam, Chew Jee San.

Che Ruzima dalam penghakimannya berkata, ketiga-tiga tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan pembelaan yang dibuat hanyalah penafian semata-mata.

Berdasarkan pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu 20.89 kg methamphetamine, 4.30 pagi di Pusat Ternakan Ikan, Jalan Behrang Ulu, Kampung Chenein, Behrang Stesen, pada 15 Jun 2016.

Ketiga-tiganya melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 12:58 PM