Nor Farhana mengambil jubah untuk konvokesyen Sabtu ini. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi
Nor Farhana mengambil jubah untuk konvokesyen Sabtu ini. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi
Suraya Roslan


WANITA muda ini hampir putus asa untuk menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) tatkala anak disayangi meninggal dunia akibat tersedak susu di taska tahun lalu.

Namun wanita tabah ini kembali bangkit untuk menghabiskan pengajian yang tertangguh lapan tahun lalu selepas menerima sokongan dan dorongan daripada suami serta keluarga.

Nor Farhana Jasmi, 31, mengakui bukan mudah baginya menghabiskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam pengkhususan Sains Gunaan selepas tertangguh bertahun lama.

“Daripada saya bujang, berkahwin, bekerja, dapat anak pertama, kehilangan anak dan sehingga ada anak balik, saya akui perlu melalui pelbagai pahit getir untuk menamatkan pengajian.

“Lebih hebat saya kehilangan anak pertama, Dewi Faleesya Fairuzzaman yang ketika itu berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas tersedak susu di taska 25 Jun tahun lalu.

“Saya hampir berputus asa ketika itu dan sudah tidak dapat fokus lagi untuk menghabiskan baki pengajian kerana terlalu rindukan anak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fairuzzaman bersama arwah anaknya, Dewi Faleesya. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi
Fairuzzaman bersama arwah anaknya, Dewi Faleesya. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi

Katanya, atas dorongan suami, Fairuzzaman Shaharuddin, 31, dan keluarga yang mahu dia menghabiskan pengajian menguatkan lagi tekad wanita ini.

“Saya perlu reda dengan kehilangan Dewi Faleesya, walaupun ketika saya dalam persiapan ‘viva’, arwah berada dalam rahim saya.

“Tapi ternyata benar apabila kita reda dengan satu ujian, Allah SWT akan beri lebih rezeki lagi.

“Saya mendapat anak kedua, Khayr Al-Haydar yang kini berusia dua bulan manakala suami kini berada di Jerman untuk menyambung pengajian PhD di University Goethe Frankfurt.

“Allah SWT sentiasa bersama hambanya yang reda dengan setiap ujian, bagaimanapun rindu saya terhadap arwah tidak pernah padam dan saya mengharapkan arwah menunggu kami di sana,” katanya.

Nor Farhana berkata, dia juga berterima kasih kepada penyelianya yang sanggup bersusah payah serta memberi dorongan semangat untuk menamatkan pengajian.

“Penyelia saya sanggup datang ke tempat kerja untuk memujuk saya menyelesaikan tesis mengenai komposit plastik.

“Selepas berbincang dengan suami, saya tekad untuk menamatkan pengajian dan Alhamdulillah selepas lapan tahun, Sabtu ini saya akan meraih skrol PhD ditemani anak, Haydar.

“Walaupun arwah banyak menemani saya ketika sukar, namun saya tidak pernah lupa mengenai ‘pengorbanan’ anak sulung dan arwah sentiasa dalam ingatan kami,” katanya.

Katanya, suaminya banyak memberi dorongan terutama ketika dia malas dan hampir berputus asa untuk membuat pembetulan.

“Apabila saya mengadu letih, suami mengurut dan ada ketika membawa saya keluar berjalan sekejap.

“Gelaran ‘Dr’ ini khas buat suami dan juga keluarga yang banyak berhabis duit untuk saya,” katanya.

Fairuzzaman bersama Nor Farhana. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi
Fairuzzaman bersama Nor Farhana. FOTO Ihsan Nor Farhana Jasmi

Sementara itu, Fairuzzaman ketika dihubungi berkata, dia bangga dengan pencapaian isterinya walaupun melalui pelbagai kesukaran untuk menamatkan pengajian.

“Beberapa kepayahan awal yang isteri hadapi adalah selepas berkahwin berikutan kami perlu menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan, tempat tinggal baru dan kehidupan baru.

“Jadi masa isteri saya untuk selesaikan tesis pada waktu itu agak terbatas.

“Kedua, selepas pemergian anak pertama, isteri saya rasa nak tinggalkan pengajian. Setiap hari saya pujuk tetapi bukan paksa. “Saya beri ruang kepada isteri selepas saya pujuk dan nasihat,” katanya yang juga bekas pensyarah di sebuah universiti swasta.

Menurutnya, setiap hari dia menasihatkan isteri jika tinggalkan tesis dan berhenti, segala usaha selama ini adalah rugi.

“Ibu dan bapa mentua saya juga selalu minta saya nasihatkan isteri supaya habiskan pengajian.

“Sokongan saya taklah banyak, sekadar beri nasihat dan saya katakan tak perlu buat kerja rumah, memasak atau lain-lain, cukup dia buat tesis, yang lain saya uruskan.

“Lama kelamaan dia paksa diri untuk buat juga tesis setiap malam, habiskan juga. Saya buatkan air kalau dia buat tesis. Tapi untuk ‘stay up’ sekali tidaklah sebab saya pun perlu bekerja, pernah sekali atau dua kali dia buat tesis sampai pagi dan terus masuk kerja,” katanya.

Fairuzzaman berkata, dia banyak memberi galakan, nasihat, semangat selain melarang isterinya melakukan kerja rumah. “Alhamdulillah segala penat lelah isteri berbayar dan Sabtu ini dia konvokesyen walaupun tanpa saya di sisi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:00 PM