MUHAMMAD Hakimi terharu menerima hadiah telefon bimbit daripada Azizul selepas telefon bimbit lamanya sudah rosak dan tidak boleh digunakan (gambar kanan).
MUHAMMAD Hakimi terharu menerima hadiah telefon bimbit daripada Azizul selepas telefon bimbit lamanya sudah rosak dan tidak boleh digunakan (gambar kanan).
Redzuan Muharam


“HADIAH itu diberikan sebagai tanda persahabatan kami yang terjalin sejak di sekolah rendah lagi,” kata Azizul Hafizi Abdul Hafiz.

Azizul, 19, memberi reaksi mengenai rakaman video dimuat naiknya di Twitter apabila membuat kejutan dengan menghadiahkan telefon bimbit kepada rakan karibnya, Muhammad Hakimi Luqman Abdul Halim, 19.

Menerusi video berdurasi dua minit 19 saat itu, Muhammad Hakimi dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata selepas menerima hadiah telefon bimbit daripada Azizul.

Keakraban mereka mencuri perhatian warganet dan sehingga kini, video berkenaan meraih 290,000 tontonan, 21,700 tanda suka dan 25,600 ulang ciap.

Azizul berkata, dia dan Muhammad Hakimi bersahabat baik sejak mereka berumur lapan tahun dan masih akrab sehingga kini walaupun jarang bertemu disebabkan komitmen terhadap pelajaran.

AZIZUL (kanan) dan Muhammad Hakimi bersahabat baik sejak mereka berusia lapan tahun.
AZIZUL (kanan) dan Muhammad Hakimi bersahabat baik sejak mereka berusia lapan tahun.

“Kami sudah berkawan lama, tetapi kini cuma dapat bertemu ketika cuti semester saja kerana saya belajar di China manakala dia di Dungun, Terengganu.

“Semalam, kami sempat meluangkan masa bersama dan sebelum pulang, saya lakukan kejutan dengan menghadiahkan telefon bimbit kepadanya.

“Lagipun, telefon bimbitnya rosak, jadi saya rasa dia memerlukan yang baru. Memang niat saya untuk menggembirakannya sebelum berangkat pulang ke China esok,” kata Azizul ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Muhammad Hakimi berkata, dia memberitahu Azizul mengenai masalah telefon bimbitnya, tetapi tidak pernah meminta rakan karibnya membelikan yang baru.

“Saya ada beritahu Azizul telefon saya sudah rosak dan kemungkinan tidak boleh digunakan lagi. Tak sangka pula, dia buat kejutan dengan menghadiahkan saya telefon bimbit ketika kami bertemu semalam.

“Mulanya, dia meminta saya mengambil beg komputer riba di dalam kereta, tetapi barangan itu rupanya telefon bimbit yang dibelikan untuk saya.

“Rasa gembira dan bersyukur sangat dengan pemberian itu. Bukan mudah mendapat sahabat sepertinya dan saya berdoa semoga persahabatan kami kekal," katanya yang kini menuntut dalam bidang landskap di Pusat Latihan Industri Perkayuan (TTITC) di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 9:00 PM