HUBUNGAN baik dengan media antara faktor mampu bertahan lebih 20 tahun. FOTO: Mustaffa Kamal
HUBUNGAN baik dengan media antara faktor mampu bertahan lebih 20 tahun. FOTO: Mustaffa Kamal
Norhayati Nordin


MAMPU mempertahankan nama dan bakat selama dua dekad dalam bidang peragaan adalah perkara sangat indah buat Amber Chia. Walaupun usia mencecah 37 tahun dan era gemilangnya mungkin sudah berlalu, Amber rasa bertuah dengan nikmat kehidupan dimiliki kini.

“Kadang-kadang saya seperti tidak percaya dapat bertahan selama lebih 20 tahun dalam bidang ini. Ia tuah buat saya kerana dapat melakukannya sampai sekarang.

“Tidak mudah sebenarnya untuk bertahan, namun sudah rezeki saya. Saya sangat berterima kasih kepada pihak media kerana terus membantu. Bagi saya, hubungan baik dengan media antara faktornya.

“Selain itu, mungkin juga kerana saya menjadi diri sendiri iaitu tidak berlagak diva dan bersikap sombong dengan orang lain. Syukur kerana dari dulu hingga sekarang saya tidak lupa diri,” katanya.

Ibu kepada seorang anak lelaki ini berkata, apa saja bidang diceburi perlu sentiasa menjadi diri sendiri dan jangan sesekali bersikap sombong dengan kejayaan.

“Jika dalam diri memang ada sikap sombong dan tidak profesional ketika bekerja, pasti akan memberi impak kurang baik terhadap sesuatu pekerjaan dilakukan itu,” katanya.

Ditanya mengenai wajahnya yang kekal awet muda, Amber berkata, barangkali dipengaruhi keperibadiannya yang suka ketawa, gembira, ceria dan kadang-kadang ‘gila-gila’.

“Saya memang sering ditanya bagaimana boleh kekal muda? Bagi saya, selain menjaga pemakanan dan bersenam, kena pastikan hati juga sentiasa dalam keadaan tenang dan gembira.

“Saya memang suka ketawa dan tak ada masa hendak berasa risau. Bagi saya, masalah akan tetap ada, cuma kena tahu menguruskannya dengan sebaik mungkin.

“Saya ditegaskan yang paling penting, jangan risau, jangan sombong dan selalu jadi diri sendiri dengan memastikan sentiasa kasih serta sayang kepada mereka yang ada di sekeliling kita,” katanya.

AMBER menubuhkan Akademi Amber Chia dan mempunyai 100 pelajar.
AMBER menubuhkan Akademi Amber Chia dan mempunyai 100 pelajar.

BANTU ANAK MUDA KEJAR IMPIAN JADI MODEL

Amber menubuhkan Akademi Amber Chia sejak sembilan tahun lalu. Katanya, akademi itu mempunyai lebih 100 pelajar yang pernah bergelar pemenang Miss Malaysia yang mengikuti pengajian dalam bidang peragaan, solekan dan dandanan rambut

“Bagi sesiapa yang berminat menceburi industri hiburan sebagai kerjaya, saya ingatkan jangan terus menunggu. Apatah lagi, saya tahu masalah kewangan antara faktor tidak boleh meneruskan pengajian.

“Di Akademi Amber Chia, saya cuba membantu anak muda generasi masa kini mengejar impian mereka terutama yang meminati bidang peragaan dan industri hiburan,” katanya.

Amber berkata, dia berharap dapat membantu ramai orang yang bercita-cita mahu berjaya di pentas peragaan termasuk cabang karier seni lain ingin diceburi.

BANGGA JADI ANAK MALAYSIA

Sudah mengembara ke banyak negara di seluruh dunia sebagai peragawati terkenal, Amber tidak pernah melupakan asal usulnya. Katanya, jiwa yang cintakan tanah air tetap tebal di dalam hatinya kerana Malaysia adalah negara aman walaupun dihuni pelbagai kaum.

“Di hati saya Malaysia adalah yang terbaik. Saya bangga menjadi anak Malaysia kerana negara ini sangat unik dan menarik.

“Kepelbagaan kaum yang ada di negara ini secara tidak langsung membawa kepada pelbagai bahasa, agama, budaya serta pelbagai makanan enak.

“Dari dulu hingga kini saya melihat perpaduan sangat kuat. Situasi ini tidak berlaku di negara lain dunia dan hanya ada di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-62 Sabtu ini, Amber berharap semua rakyat negara ini mampu terus teguh dan bersatu padu.

Amber berkata, selama mana tempoh dia bekerja di luar negara, kerinduan terhadap Malaysia tidak pernah pudar.

“Saya sentiasa ingin pulang cepat ke tanah air kerana di sini lebih aman dan tenteram. Malah, saudara-mara dan ahli keluarga saya pun ada di sini terutama di Teluk Intan, Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:50 AM