SALMAH Arshad bersama anaknya.
SALMAH Arshad bersama anaknya.
Abnor Hamizam Abd Manap


JEMPOL: Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh rakyat di negara ini adalah detik paling istimewa buat Salmah Arshad, 45, apabila turut menyambut hari lahir pada hari berkenaan.

Salmah yang dilahirkan pada 31 Ogos 1974 mengakui gembira kerana berkongsi tarikh sama dengan Hari Kebangsaan yang amat bersejarah buat negara.

Disebabkan itu, katanya, dia tidak pernah melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya, setiap tahun.

“Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, saya akan memasang Jalur Gemilang di kereta dan rumah.

“Walaupun tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan, ia sudah cukup memberi kepuasan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Bahau, semalam.

Salmah yang bekerja sebagai Pembantu Penyediaan Makanan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang berkata, paling menggembirakan apabila adik Mohd Asri, 32, dan adik ipar, Nur Irkhas Hazmi, 27, turut berkongsi tarikh lahir sama.

“Perasaan setiap kali datangnya tarikh keramat itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, malah teruja dan tidak sabar menunggu tarikh itu,” katanya.

Katanya, dia bangga kerana menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang dilahirkan pada 31 Ogos dan akan terus meraikan hari kebangsaan dengan memasang Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:40 AM