Siti Rohana Idris


Tumpat: Tanggal 31 Ogos 1957 bukan sahaja menjadi tarikh bersejarah buat negara tapi detik penting buat Fon Eit Hwa yang dilahirkan pada hari itu.

Eit Hwa yang kini 'sebaya' dengan usia hari kemerdekaan negara iaitu 64 tahun mengakui terujanya setiap kali menjelang tarikh keramat itu.

Walaupun berbangsa Cina, dia berkata, semangat patriotik tetap wujud memandangkan di sini tanah tumpah darahnya dan kedua mendiang orang tuanya juga dilahirkan di sini.

"Saya berasal daripada Kampung Jedok, Tanah Merah kerana orang tua menoreh getah di sebuah ladang getah di sana sebelum berpindah ke Kampung Lemal, Pasir Mas.

"Saya membesar dalam persekitaran masyarakat majmuk dan banyak bergaul dengan komuniti Melayu malah kehidupan seharian serta pemakanan juga banyak dipengaruhi Orang Melayu.

"Ketika di sekolah rendah, saya paling cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan sering mendapat markah penuh tapi sayangnya tidak menyambung pengajian ke peringkat menengah atas alasan tertentu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Padang Rokma di sini, semalam.

Eit Hwa yang turut menggemari budu dan sambal belacan juga berkata, setiap kali tiba tarikh 31 Ogos, dua sambutan akan diraikan di rumahnya dan secara meriah iaitu hari lahirnya serta ambang merdeka.

EIT Hwa lahir pada 31 Ogos 1957. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
EIT Hwa lahir pada 31 Ogos 1957. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Kebiasaannya dia dan empat anaknya akan menghias rumah mereka dengan Jalur Gemilang bersaiz mini namun kali ini keraiannya sangat sederhana kerana tidak dapat berkumpul.

"Sebelum berpindah ke sini, saya menetap di Kota Bharu dan turut menjalankan perniagaan menjual nasi yang mana ketika itu setiap kali menjelang kemerdekaan, saya akan lekatkan banyak bendera.

"Bagaimanapun kali ini kemeriahan agak suram namun saya tetap gembira kerana seluruh rakyat Malaysia meraikan hari lahir saya kerana ia bersamaan dengan tarikh kemerdekaan," katanya yang juga penghidap kanser payudara tahap tiga.

Terdahulu Eit Hwa menerima kunjungan rombongan Balai Polis Wakaf Bharu yang diketuai Sarjan Mejar Abd Halim Shafai yang menyumbangkan Jalur Gemilang serta bakul makanan sempena Op Bantu.

Abd Halim berkata, sempena bulan kebangsaan, pihaknya mengambil pendekatan mengesan individu yang lahir pada 31 Ogos di sekitar Wakaf Bharu sebagai penghargaan sempena hari kemerdekaan.

"Setakat ini lebih 10 individu yang lahir pada tarikh itu sudah dikenal pasti dan kami akan berkunjung sambil bertanya khabar serta menyerahkan Jalur Gemilang kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 11:13 AM