SEMANGAT cintakan tanah air diekspresikan Endon dengan kibaran Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan. FOTO Hassan Omar
SEMANGAT cintakan tanah air diekspresikan Endon dengan kibaran Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Hasrat wanita warga emas untuk menghias halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kebangsaan seperti tahun sebelum ini tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia.

Allahyarhamah Endon Said, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Londang, di sini pada jam 5.40 petang kelmarin, sebelum sempat melakukan perkara yang digemarinya itu setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

Anak kelimanya, Azhar Abdul Aziz, 53, berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir selepas terlantar sejak sebulan lalu akibat sakit tua.

"Saya menerima panggilan daripada adik petang semalam (kelmarin), dan bergegas pulang dari Kota Tinggi, Johor untuk menguruskan jenazah malam tadi (semalam)," katanya ketika ditemui di kediaman arwah, semalam.

Dia berkata, beberapa bulan lalu arwah menyatakan kepadanya dan empat anak lain, mahu meneruskan aktivitinya menghias halaman rumah yang dipenuhi dengan pasu bunga dengan Jalur Gemilang.

Katanya, arwah tetap bersemangat berbuat demikian walaupun sudah diminta oleh anak supaya berehat dan tidak lagi bersusah payah mengikat serta memacakkan bendera kebangsaan seperti tahun lalu dan sebelumnya.

Dia bagaimanapun berkata, arwah tetap dengan pendirian dan bercadang mula menghias halaman rumah beberapa hari sebelum 31 Ogos ini.

ARWAH Endon ketika menggantung Jalur Gemilang tahun lalu. FOTO Hassan Omar
ARWAH Endon ketika menggantung Jalur Gemilang tahun lalu. FOTO Hassan Omar

"Arwah memang berminat mengecat pasu bunga dengan Jalur Gemilang dan kalau tidak larat pun, arwah akan mengupah beberapa anak jiran untuk melakukannya.

"Tahun lalu dan tahun sebelumnya, setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, halaman rumah pasti akan berseri dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz," katanya.

Aktiviti arwah menghias halaman rumahnya dengan bendera kebangsaan pernah disiarkan akhbar ini beberapa tahun lalu.

Bahagian hadapan rumah arwah dilaporkan dipulihara oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan tidak boleh diubah suai, tetapi boleh dipasang Jalur Gemilang kerana ia tidak membabitkan pengubahsuaian bangunan.

Meskipun sudah lanjut usia, arwah tetap bersemangat memasang puluhan Jalur Gemilang di halaman rumahnya semata-mata kerana rasa sayangnya akan tanah air tercinta.

Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, nenek kepada 23 cucu itu sanggup berpanas untuk mengikat batang bendera pada para puluhan pasu bunga yang sudah sedia dicat dengan Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:02 AM