SAIFUL Apek dan Lan Pet Pet.
SAIFUL Apek dan Lan Pet Pet.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KUALA LUMPUR: Golongan pelawak sering dianggap sebagai happy go lucky apabila sentiasa menceriakan penonton dengan jenaka mencuit hati.

Namun, sejak akhir-akhir ada yang mula melabelkan mereka sebagai panas baran dan kaki gaduh selepas insiden beberapa pelawak popular terbabit dalam kes pergaduhan dan jenayah yang menggemparkan industri hiburan tanah air.

Sehubungan itu, ada segelintir warganet mula melabelkan pelawak mempunyai dua watak berbeza iaitu sebagai penghibur, tetapi pada masa sama panas baran.

Pelawak berpengalaman Lan Pet Pet, 50, ketika dihubungi mengakui pelawak tidak terlepas melakukan kesilapan dan sering disalahkan apabila memiliki dua watak berbeza.

“Di atas pentas tugas kami memang menghiburkan orang ramai, tetapi realitinya kami ada masalah tersendiri. Jangan mengadili kami sebagai pelawak, tetapi nilailah sebagai manusia yang ada hati dan perasaan,” katanya.

Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad berkata, pelawak adalah pekerjaan dan baran itu sikap individu yang tidak boleh dikaitkan antara satu sama lain.

“Pelawak itu manusia, ada salah dan silap dan kadang-kadang tidak dapat mengawal marah. Kami bukan gila untuk bergaduh sekiranya tidak diganggu,” katanya.

Lan sebelum itu menarik perhatian ramai apabila bergaduh dengan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 25 Ogos 2016 dan sekali lagi mencetus kontroversi apabila menumbuk pengawal keselamatan, Yahya Manap, 70, di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan, 6 April lalu.

“Saya memang menyesal dengan dua kejadian itu. Kedua-duanya juga sudah diselesaikan dengan baik. Saya tidak kisah jika dituduh sebagai pelawak baran kerana ia terpulang pada pendapat masing-masing,” katanya.

Menurut Lan lagi, sebagai pelawak beberapa kesilapan yang dibuat membunuh 1,001 kebaikan yang dilakukan.

“Sudah 25 tahun saya menjadi pelawak sejak menyertai Sinaran Passport Kegemilangan pada 17 Julai 1994. Saya tegaskan sikap baran bukan saja pada pelawak tetapi pelakon, penyanyi dan semua orang.

“Sekurang-kurangnya apabila saya berkelakuan sebegini, orang tahu perangai yang sebenar bukannya saya berpura-pura,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelawak popular, Saiful Apek, 50, turut menangkis dakwaan warganet bahawa pelawak berpura-pura apabila bersikap tidak seperti dalam jenaka yang dibawa.

Tepuk bahu ketika makan

“SAYA pernah dipanggil hoi Nabil oleh sekumpulan kanak-kanak. Kalau diikutkan hati memang marah, tetapi saya mengawal perasaan dan mententeramkan keadaan,” kata pelawak popular Nabil Ahmad.

Nabil, 36, berkata, dakwaan netizen mengatakan pelawak masa kini bersikap baran apabila sering terbabit pergaduhan tidak benar sama sekali.

“Bukan semua pelawak panas baran tambahan pula kami bukan malaikat. Baran itu sikap individu dan orang kebanyakan juga berdepan masalah sama.

“Saya anggap tuduhan itu andaian semata-mata. Mungkin ada segelintir pelawak bersikap sedemikian, tetapi ia tercetus atas beberapa faktor,” katanya.

Berdasarkan pengalaman, Nabil pernah didekati kanak-kanak yang memanggilnya hoi Nabil tetapi dia tidak memarahi mereka.

“Orang sangka pelawak tidak marah, boleh bergurau sesuka hati dan kerja mereka melawak 24 jam. Untuk pengetahuan, kami hanya bergurau dalam program yang dianjurkan (pengacaraan, pertandingan lawak, program nyanyian) dan selepas berakhir, kami menghormati orang lain,” katanya.

NABIL Ahmad
NABIL Ahmad

Mengambil contoh, Nabil sering bergurau dengan Datuk Ramli MS ketika mengacara program realiti Gegar Vaganza kerana ia perjanjian yang dibenarkan penganjur.

“Apabila saya berjumpa dia (Ramli) di luar, saya akan menghormatinya. Bagi orang luar, mereka anggap bergurau kasar dengan kami sesuatu yang dibolehkan dan akhirnya ia mendatangkan pergaduhan,” katanya.

Sementara itu, Zizan Razak, 35 berkata, ramai beranggapan pelawak panas baran sebaik terjadi salah faham sedangkan keadaan itu dicetuskan pihak yang lain.

“Ada beberapa kes orang awam menemui pelawak yang menikmati makanan lalu ditepuknya bahu. Mereka juga memanggil kami ‘hoi’ dan teguran itu tidak betul,” katanya.

Walaupun dirinya nampak ‘gila-gila’ dalam mana-mana program hiburan, Zizan menegaskan, mereka tidak berjenaka sepanjang masa.

“Kadang-kadang pelawak juga sakit dan masuk ke hospital. Dalam keadaan penat jika orang lain menegur dalam keadaan salah, ia boleh mendatangkan pergaduhan dan selepas itu kami pula dituduh panas baran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:20 AM