Uyaina Arshad.
Uyaina Arshad.
Norhayati Nordin

PENGACARA dan pelakon yang kini mencipta nama di Indonesia, Uyaina Arshad, 28, membuat keputusan melupakan seketika kerjayanya di sana dan tidak akan ke Indonesia untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berikutan pandemik Covid-19 terus meningkat di negara itu.

Uyaina berkata, dia hanya akan menyambung kembali kerjayanya di sana sehingga jangkitan di sana terkawal dan vaksin juga sudah ditemui.

"Demi kesihatan diri dan keselamatan, saya nekad menyusun atur semula jadual kerja. Biarlah tahun ini saya berusaha mengukuhkan nama serta bakat seni di Malaysia sahaja. Saya mungkin tak akan ke sana dalam tempoh dua tahun selagi ada Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Uyaina yang berjaya menerokai pasaran industri hiburan di Indonesia sejak 2018 berkata, dia sepatutnya berada enam bulan di Malaysia dan enam bulan di Indonesia atas tuntutan kerja yang sudah dirancang.

"Saya sepatutnya berada di Indonesia hujung Februari lalu kerana ada beberapa program TV yang sudah dirancang. Namun, apakan daya Allah yang menentukan segalanya.

"Saya bernasib baik juga tidak ke sana. Jika pergi juga ketika itu, mungkin saya terus tinggal dalam jangka waktu lebih panjang kerana sempadan di antara negara pun masih ditutup," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai dirinya yang mempunyai masalah jantung, Uyaina berkata, dia bersyukur doktor pakar yang merawatnya memaklumkan tahap kesihatan jantungnya makin stabil.

"Ketika melakukan pemeriksaan beberapa bulan lalu, doktor beritahu penyakit jantung saya terkawal dan tidak memerlukan pembedahan. Cukup hanya makan ubat, tetapi saya harus menjaga pemakanan serta kebahagiaan diri.

"Dalam soal itu, saya harus bijak menjaga emosi untuk banyak perkara. Saya tidak boleh terlalu gembira, sedih, suka, agresif dan sebagainya. Semua harus berpada-pada dan ada hadnya," katanya.

Uyaina yang juga pengacara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 berkata, dia bakal muncul sebagai hos program Ratu Hijabista serta terbabit penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa.

Melakonkan watak Usu Sakinah, seorang wanita kampung dalam drama itu, karya berkenaan diarahkan Michael Ang yang menggandingkan Uyaina dengan pelakon seperti Kamal Adli, Uqasha Senrose dan Yusuf Bahrin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 5:48 PM