AUBREY berbincang dengan Siti ketika proses rakaman lagu Kasihku Selamanya.
AUBREY berbincang dengan Siti ketika proses rakaman lagu Kasihku Selamanya.
Syafil Syazwan Jefri


MENGHASILKAN karya untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bukanlah tugas mudah, lebih-lebih lagi untuk mengangkat karya itu supaya setanding dengan nama penyanyinya.

Namun, bagi komposer dan pengarah muzik, Aubrey Suwito, pengalamannya bersama Mustika Hati Malaysia itu adalah pengalaman yang sangat mudah.

Terkini, Aubrey hadir dengan karya berjudul Kasihku Selamanya, hasil kerjasama dengan penulis lirik, Ad Samad.

Menurut Aubrey yang pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar, proses rakaman lagu runut bunyi (OST) filem Dendam Pontianak itu berlangsung dengan sangat mudah.

“Siti hanya ada masa satu hari untuk menyiapkan rakaman suara dan muzik video memandangkan jadual kerjanya yang padat.

“Jadi, kami mengambil masa tak sampai dua jam untuk siapkan semuanya dan sikap profesionalnya menjadikan proses rakaman berjalan lancar dan cepat,” katanya.

Aubrey berkata, hasil terakhir untuk lagu Kasihku Selamanya itu sebenarnya menggunakan hasil rakaman pertama.

“Rakaman kali pertama untuk lagu ini sebenarnya sudah cukup sempurna dari segala aspek. Namun, saya minta dia ulang rakam beberapa kali lagi.

“Bagaimanapun, kerana rakaman pertama itu sudah cukup untuk diterbitkan sebagai karya, saya gunakan rakaman pertama,” katanya.

Diminta berkongsi mengenai proses awal sebelum lagu itu dirakamkan, Aubrey berkata, dia menerima tawaran daripada syarikat produksi Tiger Tiger yang menerbitkan filem Dendam Pontianak.

“Mereka menghubungi saya dan meminta saya untuk hasilkan lagu OST buat filem mereka. Memandangkan saya pernah bekerjasama dengan Siti, mereka meluahkan hasrat untuk melamar Siti bagi menyanyi lagu OST.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mengganggu Siti ketika itu baru bersalin. Jadi, saya minta pihak produksi sendiri yang menghubungi pengurusan Siti.

“Apabila mendapat persetujuan daripada pihak Siti, saya hasilkan lagu seperti yang diminta dan memasukkan jiwa yang sesuai dengan suara Siti,” katanya.

Satu cabaran buatnya kerana dia perlu memasukkan elemen seram bagi disesuaikan dengan filem baharu itu.

“Saya tak pernah hasilkan lagu OST sebegini. Sebelum ini, saya pernah hasilkan lagu Layarlah Kembali nyanyian Dayang Nurfaizah dan diangkat menjadi lagu OST untuk filem Pulang.

“Bezanya kali ini, saya hasilkan lagu OST khas untuk filem Dendam Pontianak. Jadi, saya tonton filem itu dan fahami jalan ceritanya. Dari situ, saya hasilkan Kasihku Selamanya.

“Untuk selitkan elemen seram, saya susun muziknya supaya lebih dramatik. Ditambah pula dengan suara Siti yang sangat kena dengan jiwa lagu ini, saya rasa ia dapat sampai kepada jiwa pendengar,” katanya.

Kasihku Selamanya kini menjadi sebutan ramai peminat dan penggemar muzik tanah air sejak ia mula dilancarkan di beberapa platform digital pada 10 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:30 AM