ALBUM ManifestaSITI2020 bakal dilancarkan pada 3 Julai ini. FOTO ihsan Datuk Siti Nurhaliza
ALBUM ManifestaSITI2020 bakal dilancarkan pada 3 Julai ini. FOTO ihsan Datuk Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir

 

DATUK Seri Siti Nurhaliza menjadi penyanyi tempatan pertama muncul dengan album pada empat dekad berbeza bermula pada 1990-an, 2000, 2010 dan terbaharu pada 3 Julai ini.

Album solo studio ke-18 berjudul ManifestaSITI2020 itu memuatkan 11 lagu dan lima daripadanya sudah dilancarkan sebagai single iaitu Anta Permana, Terang, Kasihku Selamanya, 7 Nasihat dan Basyirah serta lagu rakaman semula, Teratai Menjelma nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Album pertama Siti berjudul Siti Nurhaliza 1 dipasarkan pada 1996.

Siti berkata, sudah menjadi azam selain kepuasan sebagai penyanyi adalah alasan utama kenapa dia terus menerbitkan album fizikal selain secara digital.

"Album penuh terakhir saya iaitu SimetriSiti pada 2017. Kemudian saya berehat sebab hamil dan bersalin. Dalam tempoh itu sehingga awal tahun ini, saya melancarkan single Comel Pipi Merah, Anta Permana, Terang,  7 Nasihat dan Basyirah.

"Album penuh ini adalah azam dan kelangsungan untuk saya meneruskannya kerana inilah kepuasan seorang penyanyi. Alhamdulillah, syarikat saya, Siti Nurhaliza Productions bekerjasama sekali lagi dengan Universal Music Malaysia untuk menerbitkan album baharu.

"Ini penting kerana saya mahu memastikan peluang dan ruang untuk berkarya bukan saya saja, tetapi penerbit album, pencipta lagu dan penulis lirik dapat terus dikembangkan dalam satu produksi," katanya.

Antara komposer yang terbabit dalam album kali ini ialah Aubrey Suwito, Omar K, Hael Husaini, Ezra Kong, Pown Hasril, Melly Goeslow, Hafiz Hamidun, Ippo Hafiz, John Jeevasingham, Ryan Kyoto, Kmy Kmo dan ramai lagi.

Menurut Siti, album itu sepatutnya dilancarkan lebih awal namun disebabkan disebabkan beberapa perkara ia perlu ditangguhkan.

"Sabar itu indah dan penuh hikmah. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), album tak jadi keluar sebab ada perkara yang perlu tangguh untuk teruskan pembikinan.

"Apabila masuk fasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), saya kembali memulakan kerja yang perlu disiapkan. Seterusnya PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dapat melaksanakan kerja akhir album yang membabitkan penggambaran.

"Ini hikmahnya. Apabila album bakal keluar 3 Julai ni, berasa sangat bersyukur kerana penantian bakal berakhir serta ramai peminat sudah rindu," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 11:25 AM