Sharifah Rohaizah Syed Qadry (kanan); Mohd Faizal Abd Latif (kiri). FOTO ABNOR HAMIZAM
Sharifah Rohaizah Syed Qadry (kanan); Mohd Faizal Abd Latif (kiri). FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Sesuatu yang agak aneh apabila pekan Kuala Klawang di sini, tidak memiliki kemudahan pasar raya bagi kemudahan penduduknya membeli barangan pada harga murah.

Susulan itu penduduk dan peniaga makanan di daerah ini mahu kerajaan negeri mempertimbangkan pembukaan sebuah pasar raya bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan harian pada harga `rahmah'.

Ini berikutan rata-rata mereka perlu ke Seremban yang terletak kira-kira 30 Kilometer dari sini bagi membeli barangan secara borong.

Peniaga, Sharifah Rohaizah Syed Al Qadry, 39 berkata, kebiasaan dia akan ke Seremban bagi membeli barang keperluan setiap seminggu sekali.

Katanya sebagai peniaga, keperluan bahan mentah pada harga murah membolehkannya menjual makanan pada harga munasabah.

"Ada pasar raya di Seremban menawarkan harga murah jika barangan kering dibeli secara borong. Malah barang basah turut jual pada harga lebih murah menyebabkan kebanyakan peniaga memilih untuk membeli belah di Seremban.

"Saya berharap ada pasar raya dibina di Jelebu. Pasar raya itu tidak perlu terlalu besar. Memadai barangan basah dijual pada harga murah," katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga, Mohd Faizal Abd Latif, 43, berkata,

kewujudan pasar raya di pekan Kuala Klawang adalah satu keperluan mendesak.

Menurutnya, dia ketika ini terpaksa pergi ke Seremban sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi membelikan barangan keperluan.

"Jika tidak ke Seremban, saya akan ke Bahau yang terletak kira-kira 40 kilometer berikutan terdapat pasar raya di sana.

Justeru katanya, pembukaan pasar raya itu bukan sahaja akan menjadikan pekan ini tumpuan penduduk Kuala Klawang sebalik turut memberi manfaat kepada penduduk Simpang Durian, Simpang Pertang dan Pertang di sini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Romli Arifin, 46, berkata, kewujudan pasar raya yang menjual barangan kering dan basah di Kuala Klawan amat dinanti-nantikan penduduk sekitar.

"Penduduk dapat berjimat berikutan barangan dijual pastinya lebih murah berbanding kedai runcit," katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A Aziz ketika demberitahu sudah ada permohonan tidak rasmi dari pihak sebuah pasar raya bagi membuka cawangan namun bukan di Kuala Klawang sebaliknya di Titi di dalam Dun Chennah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:56 PM