AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, selepas bercuti selama enam bulan daripada jawatan itu sejak 18 Disember tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, hari ini.

“Saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO mulai hari ini, ini bererti bahawa mulai hari ini saya akan terus menyambung tugas saya sebagai Presiden UMNO Malaysia.

“Biarpun 80 pertuduhan dikenakan kepada saya, biarpun yang akan datang mungkin 800 pertuduhan,” katanya dalam audio ucapannya yang tular di media sosial.

Ucapan Ahmad Zahid itu turut dimuat naik dalam laman Facebook rasminya.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Datuk Fadzlette Othman Merican ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mengumumkan akan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Datuk Mohamad Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 4:52 PM